SHAH ALAM, 28 Feb (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memukul ibunya menggunakan kasut keselamatan dan tukul besi sehingga meninggal dunia di sebuah rumah di Kampung Jawa, Klang dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek 33 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu ditahan di tempat kerjanya di Taman Sentosa, Klang pada 11.30 pagi.
Mohd Iqbal berkata terdahulu pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 9.45 pagi daripada orang awam.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang suri rumah berumur 56 tahun, tinggal bersama suaminya dan suspek di rumah berkenaan.
“Mangsa dipercayai berselisih faham dengan suspek dan lelaki itu bertindak memukul ibunya menggunakan kasut kasut keselamatan dan sebatang tukul besi sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata suspek mempunyai rekod dadah dan jenayah serta hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata lelaki itu akan direman esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Salwani Samsudin di talian 013-2444234.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial