AM

Mwc 2024: Fahmi Lawat Pavilion Huawei, Tinjau Kemajuan Teknologi Terkini

27/02/2024 10:02 PM

Daripada R. Ratcharathan

BARCELONA, 27 Feb (Bernama) --  Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini meluangkan masa selama sejam melawat Pavilion Huawei, sebuah daripada pavilion terbesar di Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2024 yang berlangsung di Fira Gran Via di sini.

Fahmi yang mengetuai delegasi Malaysia di MWC 2024 disambut oleh Presiden Hal Ehwal Awam dan Komunikasi APAC Huawei Jun Zhang dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun.

Fahmi juga diiringi oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia  Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Semasa lawatan itu, Fahmi telah diberikan taklimat  oleh penyedia infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) itu mengenai kemajuan teknologi terkininya termasuk pembawa, perusahaan serta produk dan penyelesaian domain-peralatan terbaharunya.

 Syarikat itu mempamerkan produk dan penyelesaian 5.5G, F5.5G, dan Net5.5G untuk pelbagai keadaan selain beberapa produk inovasi kebanggaannya termasuk telefon pintar  Huawei Mate 60 RS Ultimate Design, Huawei Mate X5, jam pintar  Huawei Watch Ultimate Design dan siri Huawei Watch GT 4,  Huawei FreeClip dan tablet Huawei MatePad Pro 13.2-inci.

Mengulas mengenai lawatan menteri itu, Jun Zhang berkata Huawei tetap memberikan dedikasinya kepada transformasi digital dan pembangunan ICT di Malaysia. 

“Huawei bersedia untuk menggerakkan teknologi termajunya, termasuk  5.5G, AI (kecerdasan buatan dan awan untuk menyokong pertumbuhan Malaysia. Kami komited untuk mengumpulkan sumber global dan pengalaman kami  bagi memperkasakan pembangunan Malaysia,” katanya kepada Bernama.       

Sementara itu Sun berkata menerusi kerjasama strategik dengan penyedia rangkaian mudah alih tempatan (MNO) dan ekosistem industri, Huawei menyasarkan untuk menjadi pemangkin kepada industri komunikasi dan maklumat serta  memupuk kemajuan mampan untuk negara,

“Kami begitu teruja untuk bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menjadikan matlamat bersama meningkatkan kesalinghubungan dan memacu pembangunan pintar di negara ini menjadi satu realiti.

Huawei kekal komited untuk membimbing bakat tempatan, memindahkan teknologi kepakaran dan melabur dalam infrastruktur digital Malaysia,” katanya. 

MWC 2024 perhimpunan tahunan terbesar industri telekomunikasi dihoskan oleh Groupe Speciale Mobile Association (GSMA). Kongres selama empat hari itu bermula hari ini dan dijangka menghimpunkan 100,000 pemain industri telekomunikasi.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan