AM

Fama Pahang Rancang Tambah Lokasi Program Jualan Agro Madani

27/02/2024 06:03 PM

KUANTAN, 27 Feb (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang merancang untuk menambah jumlah lokasi bagi Program Jualan Agro MADANI pada tahun ini susulan sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang Datuk Amizar Abu Adam berkata penganjuran program itu pada tahun lepas turut melepasi sasaran iaitu sebanyak 362 program telah dianjurkan berbanding 310 yang ditetapkan.

“Program ini sering mendapat permintaan dan telah memberi manfaat kepada lebih 62,000 pengunjung serta lebih 6,000 orang usahawan terlibat pada tahun lepas.

"Sehingga kini sebanyak 70 program sudah diadakan pada tahun ini dan ia dijangka terus meningkat kerana produk keperluan asas yang dijual seperti beras, sayur-sayuran, ayam dan ikan lebih menjimatkan pengguna antara 10 hingga 30 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan Agro CDERT @ APM FAMA di pekarangan Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sini hari ini.

Program Jualan Agro MADANI bersama APM bertujuan mengetengahkan anggota Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) FAMA Pahang dalam menjalinkan kerjasama dan melaksanakan khidmat kepada masyarakat setempat.

Sementara itu, Amizar memaklumkan terdapat 3,666 usahawan yang didaftarkan di bawah agensi itu pada tahun lepas yang berupaya memenuhi program dan projek seperti pasar tani, industri asas tani dan peruncitan.

Namun, beliau berkata pihak kerajaan Pahang amat menggalakkan lebih ramai usahawan mendaftarkan diri dengan agensi itu bagi membuka lebih banyak peluang dan ruang kepada mereka untuk berniaga.

"Kita tidak hanya mahu melihat usahawan menjalankan perniagaan di sekitar Pahang, bahkan jika boleh produk mereka berjaya dieksport ke luar negara.

"Ia bukan satu perkara mudah untuk melakukannya tetapi kerajaan Pahang akan sentiasa memberi galakan dan bantuan kepada mereka kerana ia memberi kesan positif yang besar kepada ekonomi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan