KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Jabatan Pertanian akan memperluas projek kebun komuniti (kebuniti) kepada sembilan lokasi lagi pada tahun ini, selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kementerian serta agensi berkaitan memberi tumpuan kepada pelaksanaan pertanian bandar.
Jabatan Pertanian dalam kenyataan hari ini memaklumkan penambahan projek kebuniti dengan kerjasama rakan strategiknya British American Tobacco Malaysia Berhad (BATM) itu melibatkan enam lokasi di Selangor, manakala di ibu negara, Negeri Sembilan dan Melaka, masing-masing satu lokasi.
Menurut kenyataan itu, pada masa ini, Jabatan Pertanian dan BATM melaksanakan projek kebuniti melibatkan 10 lokasi iaitu masing-masing dua di Selangor, Johor, Terengganu dan Kedah, manakala selebihnya di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Semalam, Anwar dilapor berkata kerajaan akan memperkenalkan program pertanian bersasar di bandar sebagai anjakan kepada pengeluaran hasil pertanian negara.
“Jabatan Pertanian telah menyahut hasrat itu melalui jalinan kerjasama bersama Koperasi Kebuniti Selangor Berhad (KOBUNITI) dan BATM sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan program pertanian bandar dan program kebuniti,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan turut memaklumkan satu majlis penyampaian sijil penghargaan rakan strategik Jabatan Pertanian bersama KOBUNITI dan BATM telah diadakan dengan disaksikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup.
Sijil penghargaan itu telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi kepada Pengerusi KOBUNITI Tan Sri Abu Kassim dan Pengarah Hal Ehwal Luar BATM Fairuz Helmi Abdul Malek.
BATM melaksanakan program keterjaminan makanan melalui Program Beyond Benih bertujuan membantu dan memperkasa komuniti B40 bagi meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran bahan makanan untuk kegunaan sendiri dengan mengoptimumkan penggunaan tanah atau ruangan persekitaran menerusi aktiviti berkebun.
KOBUNITI pula ialah koperasi yang membimbing golongan sasar khususnya B40 dalam menjalankan projek pertanian untuk menjana pendapatan dan memberikan latihan bersesuaian kepada para petani, selain melaksanakan kerjasama dalam pembangunan projek pertanian bandar melalui program latihan dan showcase teknologi dengan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial