EKONOMI

Sultan Ibrahim Sokong Hasrat Kerajaan Segera Ambil Langkah Penjimatan 

26/02/2024 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah menyokong hasrat kerajaan untuk segera mengambil langkah penjimatan, termasuk melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar.

Seri Paduka Baginda bertitah kerajaan hari ini sedang menanggung beban hutang yang semakin besar dan berada dalam kedudukan defisit fiskal sejak 1998.

"Keadaan kewangan yang lemah ini akan menyukarkan kerajaan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan baharu atau memberikan suntikan kewangan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi,” titah Seri Paduka dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah dasar-dasar baharu yang lebih menyeluruh juga perlu terus diperkenalkan oleh kerajaan.

Ini termasuk pengenalan Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang merupakan satu langkah pembaharuan bagi meningkatkan urus tadbir pengurusan kewangan awam supaya lebih telus dan bertanggungjawab.

"Saya juga akan meneliti perbelanjaan kerajaan dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan.

"Semasa pemerintahan saya ini, saya juga berharap kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun," titah Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda juga bertitah meminta kerajaan bersikap tegas bagi membendung ketirisan dan penyelewengan dana awam.

Malah, titah Sultan Ibrahim, sebarang kelemahan urus tadbir di semua peringkat perlu diperiksa, termasuk di peringkat badan berkanun, syarikat milik kerajaan serta anak-anak syarikat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan