AM

Urusan Jemaah Haji Lancar, Penerbangan Aktif - Marhamah

27/04/2026 08:27 AM

SINTOK, 27 April -- Urusan haji bagi jemaah Malaysia setakat ini berjalan lancar dengan pergerakan penerbangan ke Tanah Suci kini dalam fasa aktif melibatkan kira-kira 100 penerbangan keseluruhan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata jemaah telah mula berlepas secara berperingkat ke Madinah dengan purata tiga hingga empat penerbangan setiap hari, manakala jemaah yang telah tiba giat membuat persiapan awal bagi menunaikan ibadah tersebut.

“Bakal jemaah juga dinasihatkan supaya menjaga kesihatan sebelum berlepas kerana keadaan cuaca serta kepadatan di Tanah Suci berbeza dan mencabar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial (J-KIS) peringkat zon utara di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini semalam.

Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) kerana penambahbaikan fasiliti secara berterusan bagi memastikan keselesaan dan kebajikan jemaah Malaysia.

Sementara itu, Marhamah berkata J-KIS memfokus kepada peningkatan kesedaran isu sosial dan kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa, termasuk usaha membentuk kemahiran mengurus emosi, konflik serta cabaran kehidupan.

Beliau berkata inisiatif itu dijangka diperluaskan ke zon lain termasuk selatan dan pantai timur dalam usaha melahirkan generasi muda yang seimbang dari segi intelektual dan emosi serta mampu menjadi pemimpin masa depan negara.

“J-KIS merupakan kesinambungan daripada inisiatif nasional yang dilancarkan pada 2025 dan kini diperluaskan ke peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi mendekati golongan mahasiswa secara lebih tersusun, berfokus dan berimpak. 

"Pengisian program ini merangkumi pelbagai slot yang menyentuh realiti semasa mahasiswa, daripada isu kesihatan mental, tingkah laku berisiko, penyalahgunaan bahan hingga kepada pembentukan jati diri serta literasi digital dan etika media sosial yang melibatkan penyertaan hampir 600 pelajar," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan