EKONOMI

Pharmaniaga Serah Pelan Penyusunan Semula Pn17 Kepada Bursa Securities

23/02/2024 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) telah menyerahkan pelan penyusunan semula kepada Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) untuk syarikat itu dilepaskan daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

Pharmaniaga dalam satu kenyataan berkata pelan berkenaan menggariskan pendekatan holistik untuk meningkatkan ekuiti kumpulan dan meminimumkan kerugian terkumpul.

Ia merancang mengumpul dana melalui terbitan hak boleh lepas saham biasa baharu sehingga RM354.6 juta dan penempatan persendirian sehingga RM300 juta serta mencadangkan pengurangan modal kira-kira RM180 juta untuk mengurangkan kerugian terkumpulnya.

“Menyokong inisiatif strategik ini, pemegang saham besar kumpulan itu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd (BHB) komited untuk memastikan hak gabungan mereka untuk terbitan hak berkenaan berjumlah RM190 juta akan diambil,” katanya.

Sementara menunggu kelulusan daripada Bursa Malaysia, pelan itu dijadual akan dilaksanakan sepenuhnya pada suku keempat tahun fiskal berakhir 31 Disember, 2024.

Pada 27 Februari 2023, syarikat farmaseutikal itu telah mencetuskan kriteria PN17 menurut penyata kewangan disatukan yang telah diaudit untuk tempoh berakhir 31 Disember, 2022.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan