EKONOMI

Serene Peroleh Pembiayaan Rm1.88 Bilion Rintis Projek Hidrogen Hijau Di Perak

21/02/2024 09:16 PM

SINGAPURA, 21 Feb (Bernama) -- Semarak Renewable Energy Sdn Bhd (SeRenE), satu daripada penyedia penyelesaian tenaga boleh baharu Malaysia berjaya memperoleh pakej pembiayaan berjumlah RM1.88 bilion (US$400 juta) bagi projek perintis hidrogen hijaunya di Perak. 

Pengarah Urusan SeRenE Mohammad Shahil Ishak berkata projek itu berjaya menarik perhatian pelabur asing yang menyedari potensi besar hidrogen dalam membentuk masa depan industri tenaga. 

Seiring dengan langkah pengeluar automotif terkemuka Jepun seperti Toyota dan Honda, yang banyak melabur dalam teknologi hidrogen bagi kereta, beliau yakin projek tersebut mampu membawa kesan transformasi besar ke atas pelbagai sektor terutamanya automotif dan perkapalan.

Mohammad Shahil berkata memandangkan projek itu bukan sahaja berdaya maju tetapi juga menguntungkan sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap penyelesaian mampan, beliau turut menggalakkan pembabitan daripada pelabur tempatan dan juga kerajaan.  

Inisiatif yang berpangkalan di Perak itu melibatkan pembangunan pengeluaran hidrogen hijau menggunakan penjanaan kuasa fotovoltaik terapung, penyimpanan dan logistik yang bakal membawa kepada peralihan ke arah amalan tenaga mampan.

Menjelas kepentingannya, beliau berkata, pengeluaran hidrogen hijau bergantung semata-mata kepada bekalan tenaga bersih yang mana membezakannya daripada sumber hidrogen konvensional seperti 'hidrogen kelabu' yang berasal daripada bahan api fosil atau 'hidrogen biru' daripada gas asli, sekali gus menjadikannya sebagai alternatif lebih bersih.

“Jika lebih banyak projek dilaksanakan, Malaysia bakal menerajui usaha mencapai sasaran tenaga hijau global yang bukan sahaja dapat menarik sokongan kewangan tetapi juga pengiktirafan dunia terhadap usaha memelihara alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Pembiayaan itu dimuktamadkan di Singapura pada 20 Feb 2024 dan disokong oleh Capitale Ventures dengan Chalfouh LLC sebagai penasihat.

Pada majlis menandatangani pembiayaan itu, SeRenE diwakili oleh Mohammad Shahil manakala Capitale Venture diwakili oleh pengasas bersamanya Willy Lim.

Pada 17 Jan, anak syarikat PowerChina, China Hydropower (Malaysia) Co Ltd dan SeRenE memeterai perjanjian bernilai RM1.88 bilion melibatkan projek hidrogen hijau. 

Inisiatif itu melibatkan pembangunan sekunder dan penggunaan tasik bijih timah terbiar, menandakan sumbangan penting kepada transformasi hijau dan rendah karbon Malaysia. 

Sejak memasuki pasaran Malaysia pada 1993, PowerChina telah berjaya melaksanakan lebih 150 projek dengan jumlah nilai kontrak melebihi US$7 bilion.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan