AM

INSKEN SASAR BIMBING, LATIH LEBIH 7,900 USAHAWAN TAHUN INI

20/02/2024 03:13 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) menyasarkan untuk melatih lebih 7,900 usahawan menerusi 233 program bimbingan serta meningkatkan 25 peratus hasil jualan tahun ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Firdaus Azharuddin berkata pihaknya komited dan proaktif dalam membantu usahawan mikro dan informal memajukan serta memperkasa perniagaan mereka.

"Hala tuju ISKEN pada 2024 juga merangkumi usaha bagi memantapkan pengurusan tunai serta pembangunan produk dan servis dalam kalangan usahawan tersebut," katanya pada sesi taklimat pencapaian INSKEN 2023 bersama media secara dalam talian, hari ini.

Pada tahun lepas katanya INSKEN telah berjaya melatih 9,861 usahawan menerusi 280 program latihan dan bimbingan sekali gus melepasi sasaran awal iaitu 6,940 usahawan dan 220 program.

Firdaus berkata usaha itu membolehkan INSKEN merekodkan peningkatan hasil jualan sebanyak RM13.3 juta, mencipta 392 pekerjaan baharu selain 33 usahawan bertukar status perniagaan daripada mikro kepada kecil, tahun lepas.

Beliau berkata kecemerlangan itu yang dicapai menerusi pelaksanaan program bimbingan INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Program Bimbingan Keuntungan Menu, akan diteruskan tahun ini dengan penambahan program baharu berkaitan pemfailan cukai.

Selain itu, Firdaus berkata INSKEN juga masih meneruskan program latihan, bimbingan serta konsultasi percuma kepada semua kategori usahawan khususnya informal dan mikro.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan