ALOR SETAR, 17 Feb (Bernama) -- Persatuan Takaful Malaysia (MTA) akan terus mempergiat usahanya untuk meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap kepentingan memiliki perlindungan takaful terutamanya di kawasan luar bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed berkata kebanyakan karnival, program dan siri jelajah sebelum ini lebih tertumpu di ibu negara dan ibu negeri tetapi kawasan luar bandar biasanya dipinggirkan.
“Pemilihan untuk mengadakan karnival dan program ini selalunya berdasarkan pada pembangunan dan sebab itu kawasan luar bandar biasanya terpinggir...masih ada 40 peratus yang masih belum mempunyai sebarang perlindungan dan kemungkinan mereka ini duduk di kawasan luar bandar.
“Tetapi, tidak semestinya mereka yang duduk di luar bandar ini dalam kategori B40, sebab orang kampung ini walaupun pendapatan mereka lebih rendah berbanding orang bandar tetapi kehidupan mereka selesa dan tidak memerlukan banyak bantuan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau ditemui di Karnival Takaful Masuk Kampung (TMK) yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri Muhammad Radhi Mat Din di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Alor Mengkudu, di sini.
Mohd Radzuan berkata pada suatu ketika dahulu orang ramai mendapat maklumat mengenai takaful daripada ejen-ejen yang dilantik tetapi kini, industri takaful itu sendiri yang datang turun padang untuk menyampaikan maklumat dan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan takaful.
“Ini merupakan penganjuran TMK yang kelima dan sasaran MTA adalah untuk mengadakan karnival ini empat kali setahun dan lokasinya bergantung atas permintaan daripada mana-mana pihak...kami mungkin akan asingkan karnival di bandar dan luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Radhi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Mengkudu berkata karnival anjuran MTA itu dilihat sebagai satu inisiatif untuk membantu meningkatkan kefahaman dan pengetahuan rakyat mengenai takaful.
"Saya lihat kefahaman rakyat mengenai takaful ini kurang meluas, ini menjadi peluang untuk lebih memahami kepentingan memiliki takaful...kadang-kadang kita ini prihatin berkaitan kewangan tetapi tidak ada maklumat lebih, jadi MTA boleh bantu salurkan maklumat.
"Saya juga mungkin akan cadang dan maklumkan kepada peringkat negeri agar penganjuran karnival ini dapat terus diadakan di kawasan dan daerah yang lain. Saya jangka hampir 2,000 pengunjung akan datang ke karnival yang turut disertai hampir 20 pempamer ini," katanya.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan