Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

RM5.9 Bilion Diperuntuk Bagi 38 Projek Infrastruktur Air Di Pahang- PETRA

05/07/2025 12:24 PM

KUANTAN, 5 Julai (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah meluluskan sebanyak 38 projek pembangunan infrastruktur air di Pahang dengan peruntukan berjumlah RM5.9 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri berkata sebanyak RM504.2 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek-projek tersebut tahun ini menerusi Rolling Plan Kelima (RP5), mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan akses kepada air bersih dan perkhidmatan bekalan air yang mampan kepada rakyat.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan pelaksanaan projek-projek kerajaan dapat memberi impak maksimum kepada rakyat Pahang,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.

Mohd Rodzwan berkata pihaknya yakin pelaksanaan projek oleh agensi di bawah PETRA seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Jabatan Bekalan Air (JBA), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dapat mengatasi pelbagai cabaran berkaitan air serta memberi impak positif kepada penduduk negeri ini.

Sambutan HAS bertemakan “Air untuk Kehidupan” dengan slogan “AirKU, HidupKU, DuniaKU” itu berlangsung selama dua hari di Dataran Sayangi Kuantan sejak semalam, dengan kehadiran lebih 2,000 pengunjung.

Ia menjadi platform advokasi nasional yang menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pelajar dan sektor swasta bagi menyemai rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga khazanah air negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan