JENAYAH & MAHKAMAH

152 Saman Dikeluarkan Dalam Operasi Bersepadu Di Pulau Pinang

17/02/2024 02:26 PM

GEORGE TOWN, 17 Feb (Bernama) -- Sebanyak 152 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam operasi khas bersepadu di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Dr Awang, di sini semalam.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan operasi disertai polis dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu bertujuan menguatkuasakan kesalahan di bawah Kaedah 6, Kaedah-kaedah Lalu-lintas Jalan 1959 iaitu memotong di sebelah kiri jalan atau memotong barisan.

Menurut kenyataan itu, operasi dilakukan berdasarkan aduan awam dan risikan kerana didapati banyak pengguna jalan raya gagal mematuhi peraturan isyarat lalu lintas itu terutama pada waktu puncak menyebabkan laluan di sebelah kiri jalan terganggu.

“Sepanjang operasi bermula 5.30 petang hingga 7.30 malam, 61 notis saman dikeluarkan kepada pemandu kenderaan persendirian dan perkhidmatan awam yang melakukan kesalahan berkenaan (memotong di sebelah kiri jalan/memotong barisan).

"Kesalahan lain yang dikesan ialah gagal patuhi isyarat berhenti ketika lampu merah, tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans yang melibatkan pengeluaran 18 notis saman manakala pihak polis mengeluarkan 73 saman atas pelbagai kesalahan," menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, kenyataan itu turut memaklumkan JPJ Pulau Pinang menyita sebuah kereta BMW X1 dipandu seorang lelaki warga asing kerana pelbagai kesalahan dalam operasi di bulatan Jalan Tun Hussein Onn, Seberang Jaya dekat sini.

Penguat kuasa JPJ telah menahan kereta terbabit kerana memotong barisan dan hasil pemeriksaan mendapati pemandunya tidak memiliki lesen memandu, LKM tamat tempoh dan tiada perlindungan isurans.

"Pihak JPJ telah menyita kereta mewah itu di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan