EKONOMI

Alliance Islamic Bank Akan Jana Impak Positif, Mampan Kepada Ekonomi, Komuniti

08/02/2024 10:07 AM

Oleh Sharifah Pirdaus Syed Ali

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Alliance Islamic Bank Bhd (AIS) sedang dalam usaha untuk menjana impak positif dan mampan kepada ekonomi, komuniti dan alam sekitar sambil memastikan pulangan yang konsisten dan malar sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya kepada agenda pengantaraan berasaskan nilai (VBI) Bank Negara Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata sebagai sebuah institusi kewangan Islam bank itu perlu mematuhi keperluan Syariah melalui amalan, tata laku dan penawarannya.

“Kami telah memupuk minda Syariah dalam organisasi untuk menyampaikan inisiatif yang memberi tumpuan kepada impak. Program ‘The Halal in One’ membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha mereka mendapatkan pensijilan halal. 

“Setakat ini, program itu telah membantu lebih 500 pelanggan mendapatkan pensijilan halal mereka dan mengeluarkan lebih daripada RM1 bilion pembiayaan patuh Syariah,” katanya kepada Bernama.  

Selain itu, Rizal berkata menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi yang bertujuan meningkatkan taraf ekonomi usahawan mikro dalam segmen asnaf dan pendapatan 40 peratus terbawah (B40) dengan menyediakan latihan kemahiran keusahawanan, kewangan dan digital, bank itu berjaya melatih 50 peserta dan kira-kira 74 peratus daripadanya mendapati bahawa pendapatan mereka telah meningkat.

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap agenda VBI, bank itu juga mempelopori Program Pembiayaan Mikro Zakat (AZAM), yang mengagihkan zakat secara produktif melalui struktur dana pusingan bagi membantu usahawan mikro asnaf membina sumber pendapatan yang mampan.

“Selaras dengan prinsip dan matlamat VBI, AZAM disasar untuk mencipta impak sosio-ekonomi yang lebih besar dan berlandaskan Syariah dengan memastikan pengagihan kekayaan secara adil dan saksama.

“AZAM menggalakkan rangkuman kewangan, penjanaan pendapatan dan memudahkan pembangunan saksama dengan menyediakan peluang pembiayaan yang boleh diakses dan mampu milik bersama-sama dengan program peningkatan kemahiran berstruktur,” katanya.

Rizal juga berkata institusi kewangan telah meneroka cara berbeza untuk mengagihkan kewangan sosial, yang dibezakan oleh jenis dana yang digunakan, seperti derma, wakaf dan zakat serta penerima sasaran mereka.

Menurutnya, AZAM berbeza daripada program lain yang diwujudkan untuk golongan asnaf berikutan pendekatan inovatifnya dalam menggunakan Zakat Wakalah.

 

AZAM pemangkin bagi keterangkuman sosial

 

Sejajar dengan agenda VBI, beliau berkata impak AZAM pada masa depan menekankan bukan hanya kepada rangkuman kewangan tetapi juga penciptaan ekosistem sosio-ekonomi yang mampan kerana program itu disasarkan menjadi penyumbang proaktif kepada matlamat VBI yang lebih luas, memastikan hasilnya selari dengan prinsip pengagihan kekayaan yang adil dan saksama, rangkuman kewangan, dan pemerkasaan komuniti.

Beliau menjelaskan peranan AZAM dalam pemerkasaan kewangan melangkaui bidang urus niaga kerana ia menjadi pemangkin bagi rangkuman sosial, inovasi kewangan kolaboratif, dan menambah baik literasi kewangan ekonomi tempatan yang seimbang.

Dengan memperkasakan usahawan mikro asnaf, Rizal berkata program itu secara aktif menyumbang kepada mewujudkan masyarakat yang berdikari dan cergas dari segi ekonomi, sejajar dengan penekanan VBI terhadap pendekatan pembangunan ekonomi holistik terhadap pembangunan masyarakat.

“Struktur dana pusingan inovatif AZAM berfungsi sebagai inspirasi untuk model kewangan kolaboratif. Dalam konteks yang lebih luas, model ini boleh disesuaikan untuk menangani cabaran pemerkasaan kewangan dalam pelbagai komuniti, selaras dengan matlamat VBI untuk menggalakkan amalan kewangan yang inovatif.

“Kami berharap AZAM dapat menjadi contoh teladan dan pemangkin untuk diikuti bank dan institusi kewangan lain bagi meneroka pendekatan inovatif dalam kewangan sosial. AZAM juga memainkan peranan penting dalam peralihan individu daripada menjadi penerima zakat kepada penyumbang zakat, sekali gus menyumbang kepada ekonomi tempatan yang seimbang,” katanya. 

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Syariah AIS, Dr Tuan Badrul Hisyam Tuan Soh berkata sebelum mendapat kelulusan Majlis Fatwa Selangor, AIS telah menjalankan penyelidikan menyeluruh secara kerjasama dengan cendekiawan dan pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah.

“Kajian itu mengetengahkan beberapa perkara penting yang berkaitan dengan topik tersebut, seperti pandangan berbeza yang dipegang oleh ulama berkaitan tamlik (pemberian secara terang-terangan) wang zakat kepada penerima.

“Amalan Nabi Muhammad SAW dalam pengagihan zakat ternakan ialah unta, lembu, dan kambing yang dikumpul tidak diagihkan terus kepada asnaf. Sebaliknya hanya susu daripada lembu yang dizakatkan diberikan kepada mereka,” katanya.

Bagi AZAM, Rizal berkata dana zakat diperuntukkan sebagai pinjaman ihsan (Qardh) kepada penerima yang layak, yang mana AIS akan menanggung semua kos pengurusan yang berkaitan dengan program itu, membolehkan penerima membayar balik hanya jumlah yang diperoleh tanpa keuntungan.

Menjelaskan lebih lanjut model operasi AZAM, Tuan Badrul berkata dana zakat pada mulanya berfungsi sebagai pinjaman ihsan untuk tiga tahun pertama, dan pembayaran balik memastikan kitaran manfaat berterusan untuk penerima berikutnya, dengan pengagihan langsung berlaku selepas tahun ketiga.

-- BERNAMA=


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan