JENAYAH & MAHKAMAH

131 PENDATANG TANPA IZIN LOLOS DARI DTI BIDOR, SATU MAUT KEMALANGAN

02/02/2024 09:26 AM

IPOH, 2 Feb (Bernama) -- Sebanyak 131 pendatang tanpa izin telah melarikan diri dari blok lelaki Depot Tahanan Imigresen Bidor semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi berkata daripada jumlah itu, 115 orang merupakan etnik Rohingya, manakala 16 lagi ialah warga Myanmar.

"Kami menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan kesemua tahanan itu telah melarikan diri … seorang lelaki disyaki tahanan yang lolos terlibat dalam kemalangan jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian di KM 335 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pencarian kesemua tahanan yang lolos dan siasatan masih diteruskan dengan bantuan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Bukit Aman. 

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus ke Bilik Gerakan IPD Tapah melalui talian 05-4015222," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan