AM

YBR, UPSI METERAI MOU BAGI PENAJAAN PENGAJIAN BAHASA ETNIK LIBATKAN RM7.5 JUTA

01/02/2024 03:51 PM

TANJUNG MALIM, 1 Feb (Bernama) -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bagi penajaan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada 150 orang pelajar pendidikan bahasa etnik melibatkan peruntukan RM7.5 juta.

MoU itu ditandatangani oleh Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff serta disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI di sini hari ini.

Ewon ketika ditemui pemberita berkata YBR diletakkan di bawah tanggungjawabnya di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan menjadi komitmen beliau untuk melihat pengajian bahasa etnik di UPSI terus berkembang sejak dimulakan pada 2010.

Beliau berkata program PPBU YBR itu adalah pembiayaan pendidikan bagi mahasiswa yang mengambil pengajian dalam bahasa etnik iaitu Kadazandusun, Iban dan Semai.

“Saya berharap ini (MoU) juga dapat menunjukkan identiti Malaysia sebagai negara yang kaumnya mempunyai latar belakang bahasa yang berbeza, bermula dengan kampus pengajian, saya percaya kerajaan dan pimpinan harus mempunyai peranan memperkasakan bahasa etnik yang ditawarkan institusi pengajian kita.

“Bagi YBR, ini merupakan MoU pertama iaitu antara YBR dengan UPSI, saya berharap akan ada lagi. MoU seumpama ini yang akan kita perkenalkan, akan kita muktamad pada masa akan datang nanti,” katanya.

Menurut Ewon, MoU hari ini adalah untuk tempoh lima tahun bersama sasaran 30 pelajar bagi program berkenaan setiap tahun, dengan pembiayaan maksimum RM50,000 sepanjang pengajian bagi setiap pelajar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan