MELAKA, 29 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini atas pertuduhan menghina Yang Dipertua Negeri Melaka, Mufti Melaka dan Pengerusi Melaka Sentral Sdn Bhd, dua tahun lepas.
Abdul Razak Osman, 53, didakwa melakukan kesalahan itu menerusi rakaman video aplikasi TikTok yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @othmanhamidjunior dalam kumpulan aplikasi WhatsApp yang ditonton di alamat No. 6, Lorong 1, Jalan SD 2/21, Taman Seri Duyong di sini.
Pekerja sambilan itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan pada 3.30 petang 21 Nov 2022 dan didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian menawarkan jaminan RM7,000 kepada Abdul Razak namun peguam tertuduh, K Shareveen memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500.
Shareveen berkata anak guamnya menghidap penyakit jantung selain penyara tunggal dua anak yang berusia 24 dan 19 tahun yang masih belajar di universiti serta ibu mentua yang sudah tua.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dan menetapkan 14 Mac depan untuk tarikh sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial