KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Penglibatan Malaysia dalam Persidangan Peringkat Tinggi Pertama mengenai Pemeliharaan Glasier di Dushanbe, Tajikistan dari 29 hingga 31 Mei lalu mencerminkan solidariti negara dengan negara Asia Tengah dalam isu perubahan iklim, kata Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan, Republik Kyrgyz dan Republik Tajikistan, Ilham Tuah Illias.
Ilham Tuah berkata kehadiran Malaysia menunjukkan sokongan terhadap negara yang berdepan dengan pencairan glasier.
“Dalam ucapan saya semasa sesi Kenyataan Ketua Delegasi, saya berkongsi pelaksanaan dasar negara secara konsisten selaras dengan matlamat Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dan Perjanjian Paris.
“Antara dasar yang menarik perhatian peserta ialah Bursa Karbon, pasaran karbon sukarela patuh Syariah pertama di dunia,” katanya kepada Bernama dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut Ilham Tuah, persidangan ini amat bertepatan pada masanya memandangkan dunia kini berdepan ancaman kesan pemanasan global.
“Mesyuarat itu mengambil maklum bahawa menjelang akhir abad ini, lebih separuh glasier dunia yang menjadi sumber utama sungai dijangka akan lenyap,” tambahnya.
Seorang lagi wakil Malaysia dalam persidangan itu ialah Dr Muhammad Hafeez Jeofry, pakar lapisan ais kutub dan ahli geosains alam sekitar dari Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Menurut Muhammad Hafeez, beliau menyampaikan syarahan mengenai kesan pemanasan global terhadap kestabilan lapisan ais di Antartika, yang mendapat perhatian besar dalam kalangan delegasi akademik.
Pembentangannya menekankan keperluan mendesak untuk memahami dinamik ais kutub dan kesannya terhadap paras laut global.
“Syarahan itu menerima maklum balas positif dan membuka peluang kerjasama penyelidikan antarabangsa, khususnya dalam kajian iklim dan kenaikan paras laut. Saya turut berkongsi dapatan daripada kajian semasa mengenai unjuran paras laut di Asia Tenggara, termasuk kawasan berisiko tinggi seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand,” katanya.
Persidangan itu menghimpunkan peserta dari 115 negara, termasuk beberapa negara Asia Tenggara seperti Kemboja, Indonesia dan Thailand, mencerminkan keprihatinan serantau yang semakin meningkat terhadap impak pencairan ais Antartika dan Greenland terhadap kawasan pesisir pantai.
Dalam satu kenyataan sebelum persidangan, Kedutaan Tajikistan di Kuala Lumpur menyatakan bahawa persidangan itu bertujuan menarik perhatian dunia terhadap isu mendesak pencairan glasier serta mengukuhkan kerjasama antarabangsa, pembiayaan dan tindakan bagi melindungi glasier dan sumber air.
-- BERNAMA
RMI VMP KLS
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial