AM

Kenangan Kembara Kenali Borneo, Al-sultan Abdullah Mahu Pembangunan Sabah Dan Sarawak Sebaik Mungkin

29/01/2024 02:45 PM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Kembara Kenali Borneo, sebuah idea dan hasrat penjelajahan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengenali penduduk Sabah dan Sarawak mencetuskan fenomena yang terpahat di ingatan bukan sahaja kepada rakyat, tetapi juga Seri Paduka serta Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menyifatkan satu pengalaman manis hingga ke akhir hayat, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertitah hasrat Seri Paduka berdua dan keluarga pada awalnya adalah percutian untuk menikmati keindahan Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang, sekali gus mengenali rakyat tempatan, budaya, adat resam dan seni kraf pelbagai suku kaum.

Bagaimanapun, keberangkatan julung kali Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong serta rombongan yang menjelajah ke pedalaman kedua-dua negeri mendapat sambutan luar jangkaan dan kehadiran luar biasa masyarakat tempatan di setiap destinasi.

Lawatan dan persinggahan Kembara Kenali Borneo pada 3 hingga 13 Sept tahun lepas menjadi fenomena sehingga sohor kini menerusi media sosial ketika itu.

“Satu pengalaman cukup manis bagi saya, kenangan sampai akhir hayat saya dan kadangkala bila saya tidak buat apa-apa tengah malam, saya teringat kembali, menangis dan sayu kerana sambutan yang diberi sangat di luar jangkaan.

“Saya berterima kasih sangat dan Raja Permaisuri pun (berterima kasih)," titah Al-Sultan Abdullah dalam wawancara bersama editor dan wartawan kanan media utama di Istana Negara baru-baru ini, sempena berakhirnya tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan ini.

Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyertai wawancara berkenaan.

Tunku Azizah yang berada di sisi mencelah: “Kami sangat terharu. Kedatangan kami diterima dan dialu-alukan.”

Penjelajahan itu disifatkan sebagai satu pengalaman baharu yang secara tidak langsung memberikan peluang kepada rakyat mengemukakan masalah khususnya dari segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kedua-dua negeri itu.

Sambil menunjukkan sebahagian surat aduan diterima serta buku laporan tindakan diambil kerajaan susulan penjelajahan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah setiap projek pembangunan di Sabah dan Sarawak yang diumumkan kerajaan mesti dipantau serta dilaksanakan sebaik mungkin tanpa berlaku sebarang ketirisan.

Seri Paduka bertitah sekiranya berlaku ketirisan dalam setiap projek itu, maka penduduk di Sabah dan Sarawak akan ketinggalan dari aspek pembangunan berbanding rakyat di Semenanjung.

Al-Sultan Abdullah bertitah peruntukan bagi projek pembangunan di Sabah dan Sarawak juga amat penting untuk dititikberatkan memandangkan saiz kedua-dua negeri yang lebih besar daripada Semenanjung.

“Kita di Semenanjung ini harus bersyukur, segala kemudahan asas sudah ada, di sana (Sabah dan Sarawak)… kita tengok saiz (wilayah) Sabah dan Sarawak dua kali saiz besar berbanding Semenanjung.

“Jadi bayangkan hendak buat (bina) jalan kampung A ke kampung B, bandar A ke bandar B... di sini (Semenanjung) 200 kilometer (km), di sana (Sabah dan Sarawak) sekali ganda (dari aspek jarak), kosnya juga sekali ganda, maka peruntukan semua sekali ganda atau tiga kali ganda sebab itu faktor kewangan di sana amat penting,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak serta jabatan dan agensi yang terlibat menjayakan kembara itu.

Pasangan diraja berkenaan menyelami kehidupan penduduk di Sabah dan Sarawak menerusi Kembara Kenali Borneo yang diketuai Al-Sultan Abdullah dengan Seri Paduka berkenan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda mengharungi perjalanan sejauh 2,332 kilometer (km) menelusuri Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Sepanjang penjelajahan selama 11 hari itu, Seri Paduka berdua begitu prihatin terhadap nasib penduduk yang mengalami pelbagai masalah infrastruktur di tempat tinggal mereka dengan Al-Sultan Abdullah terbuka menerima surat aduan daripada rakyat, manakala Tunku Azizah sanggup mencatat sendiri keluhan penduduk dalam buku nota.

“Saya begitu simpati setelah mendengar dan melihat sendiri rumah panjang ada yang terbengkalai di tepi lebuh raya itu… (ada segelintir rakyat) jerit-jerit “Tuanku, tiada air di sini selama lapan hari”.

“Semasa lawatan (Kembara Kenali Borneo) kita tengok ada jambatan yang runtuh. Alhamdulillah, kerajaan Persekutuan akan membina jambatan baharu dengan tak silap saya (peruntukan) RM13 juta untuk memudahkan orang kampung,” titah Al-Sultan Abdullah.

Ketika Kembara Kenali Borneo di Sabah, Al-Sultan Abdullah melihat sendiri keadaan jambatan di Sungai Liwagu, Ranau yang rosak sehingga menyukarkan kehidupan harian penduduk berdekatan untuk menyeberangi sungai itu.

“Saya dapati ada kereta juga di sebelah sana (seberang sungai), jadi saya tanya macam mana kereta tu nak ke sebelah sini sebab jambatan dah patah, dia (penduduk kampung berdekatan) beritahu kena tunggu air surut baru boleh menyeberangi sungai itu tetapi kadang-kadang cuba, sangkut juga, jadi insya-Allah akan dibina sebuah jambatan baharu di situ dan (bekalan) air juga dapat dibantu,” titah Seri Paduka.

Pelbagai ragam rakyat Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang dirakamkan dengan kebanyakan mereka sanggup menunggu lama di lokasi penganjuran majlis sempena Kembara Kenali Borneo mahupun menanti di bahu jalan bagi meraikan keberangkatan Seri Paduka berdua.

Antara peristiwa paling menarik perhatian umum adalah pertemuan singkat Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dengan anak istimewa Missclyen Roland yang dilahirkan dengan wajah dan tubuh berbulu lebat akibat sindrom congenital generalised hypertrichosis (CGH), bersama ibu bapanya ketika konvoi Kembara Kenali Borneo singgah di pekarangan Masjid Al-Falah, Kampung Penan Muslim Batu 10, Bintulu-Miri pada 10 Sept tahun lepas.

"(Ketika pertemuan itu) Saya ambil, saya dukung (Missclyen), rasa kesian rasa sayang jadi saya cakap dengan Tuanku (Al-Sultan Abdullah) yang saya nak ambil (Missclyen) jadi anak angkat untuk membantu menanggung pelajaran dan perubatannya, bukan hendak ambil dia daripada keluarganya," titah Tunku Azizah yang mengimbau memori pertemuan dengan kanak-kanak perempuan itu.

Detik berkenaan menjadi permulaan kepada hubungan antara keluarga anak kecil berusia dua tahun itu dengan pasangan diraja apabila Tunku Azizah berkenan mengambil Missclyen sebagai anak angkat.

Tunku Azizah turut berhasrat untuk melawat semula Missclyen pada Februari atau Mac ini.

"(Pada masa ini) kadang-kadang, saya ada telefon ayah dia, saya hubungi (keluarga Missclyen) selalu dan kita sekarang tengah cari ubat untuk merawat Missclyen," titah Raja Permaisuri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan