AM

Kerja Pemasangan Pengapit Paip Bocor Di Sungai Perai Dijangka Siap 4 Petang Ini - Chow

25/01/2024 02:01 PM

BUTTERWORTH, 25 Jan (Bernama) -- Kerja-kerja memasang pengapit bagi membaiki kebocoran paip 1,350 milimeter (mm) di dasar Sungai Perai di sini dijangka siap menjelang 4 petang ini, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Beliau yang melawat Sungai Perai hari ini berkata pasukan penyelam telah berjaya melakukan kerja pemasangan pengapit di bahagian atas paip bocor dan meneruskan kerja pemasangan pengapit di bahagian bawah supaya dapat diketatkan.

“Setakat ini kita masih mengikut jadual, menjelang 4 petang ini kita harap pelan A pemasangan pengapit dapat disiapkan.

“Sekiranya siap mengikut jadual, maka kita akan ambil tindakan seterusnya untuk memulihkan bekalan air kepada kawasan terkesan secepat mungkin dan meneruskan kerja-kerja pelan B (penyambungan dua saluran paip 600 mm),” katanya.

Semalam, media melaporkan Chow berkata sebanyak 120,000 pengguna di daerah Barat Daya dan bahagian selatan Timur Laut akan mengalami gangguan bekalan air untuk tempoh seminggu sekiranya pelan A yang dijalankan ketika ini gagal.

Kejadian paip bocor di dasar Sungai Perai pada Selasa merupakan kali ketiga berlaku selepas dua kejadian paip bocor dilaporkan pada Disember tahun lepas dan 12 Jan.

Berikutan beberapa kejadian paip bocor, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melaksanakan kaedah pemasangan paip gantian sementara merentasi Sungai Perai, dan kerja pemasangan paip sementara itu dijangka siap pada 2 Feb, dan berfungsi sekurang-kurangnya lapan bulan sementara menunggu projek baharu penggantian paip kekal di dasar Sungai Perai siap.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan