Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 31 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Singapura hari ini untuk menghadiri Dialog Shangri-La (SLD) ke-22, iaitu persidangan berprestij pertahanan dan keselamatan serantau di Asia Pasifik, dalam rangka lawatan kerjanya selama sehari.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Changi pada 11.39 pagi.
Beliau dijadual menuju ke Hotel Shangri-La di Orange Grove Road untuk menyertai persidangan berkenaan dan menyampaikan Ucapan Khas pada 2.45 petang.
Sebelum itu, Perdana Menteri juga akan menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth.
Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Boeing Global merangkap Naib Presiden Kanan Boeing Company, Dr Brendan Nelson, di luar sesi dialog berkenaan.
Turut berada di Singapura ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang tiba lebih awal pada Jumaat bagi menyertai dialog itu.
SLD edisi ke-22 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat menyaksikan penyertaan daripada 47 negara, termasuk 40 perwakilan peringkat menteri, 20 ketua angkatan tentera, lebih 20 pegawai kanan pertahanan serta tokoh akademik terkemuka.
Sementara itu, Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Perdana Menteri Lawrence Wong.
Kedua-dua pemimpin dijangka meneliti perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Singapura serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global yang berkepentingan bersama.
Anwar juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam di Istana.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial