PUTRAJAYA, 23 Jan (Bernama) -- Empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampang, Kedah tidak menyangka usaha mereka menerusi pelbagai kempen membabitkan reduce, reuse, recycle (3R) bagi memelihara alam sekitar termasuk mencegah tapak pelupusan sampah haram, melayakkan mereka memenangi pertandingan Toyota Eco Youth (TEY) anjuran UMW Toyota Motor Sdn Bhd.
Projek yang diusahakan oleh Nur Farhana Azwani Ishak, 16, Khalisa Iman Khairizal, 16, Nur Farah Syafiqah Mohd Yusri, 15, dan Noor Fatehah Majid, 15, itu berjaya menewaskan 14 sekolah dari seluruh negara sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM30,000.
Keempat-empat pelajar itu kelihatan mengalirkan air mata kegembiraan sambil memeluk guru pengiring Nur Asmaa' Abdul Hashim ketika diumum sebagai pemenang di sini hari ini.
Ketika ditemui Bernama, Nur Asmaa’ yang turut merangkul anugerah Guru Penasihat Terbaik berkata untuk mencapai kejayaan itu tidak mudah kerana pelbagai cabaran dihadapi sepanjang tiga bulan membuat persediaan bagi menyertai pertandingan itu.
“Namun, dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk sekolah dan juga komitmen tinggi para pelajar, selain menggunakan lapan langkah Metodologi Penyelesaian Masalah Toyota, kami mampu mengatasinya.
“Bagi projek ini, kami mulakan dengan mencari masalah berkaitan alam sekitar berdekatan sekolah untuk diselesaikan … dan dengan bantuan pelbagai agensi, kami berjaya menjalankan projek taman mini rekreasi, kebun mini dan kempen 3R,” katanya.
Beliau berkata antara cabaran dilalui ialah perlu memantau pelajar melakukan projek ketika masing-masing turut sibuk dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
“Tetapi setelah diberi tanggungjawab, mereka mampu dan hari ini mereka telah buktikan dengan kejayaan ini, iaitu kali pertama kita menjuarai sesuatu pertandingan di peringkat kebangsaan," katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Toyota atas penganjuran program sedemikian untuk kebaikan generasi muda.
Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran K dalam kenyataan yang diedarkan kepada media berkata program TEY secara konsisten memainkan peranan penting bagi memupuk kesedaran mengenai alam sekitar dalam kalangan remaja sejak dimulakan pada 2001.
“Di UMW Toyota Motor, kami berbangga mempunyai matlamat selari dengan komitmen global Toyota ke arah menyumbang kepada usaha mewujudkan alam sekitar yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.
Ravindran turut menekankan komitmen UMW dalam mewujudkan alam sekitar yang lebih baik menerusi slogan syarikat Move Your World, dan usaha untuk mencapai sifar pelepasan karbon menjelang 2050.
Beliau berkata sebanyak 15 sekolah telah mengambil bahagian dalam pertandingan kali ini yang masing-masing membentangkan projek berinovasi bertujuan menangani isu alam sekitar dalam komuniti mereka.
Pada pertandingan itu, tempat kedua dimenangi oleh SMK St Teresa, Kuching, Sarawak yang menerima wang tunai RM20,000, manakala SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah, Perlis meraih tempat ketiga dengan hadiah RM10,000.
Pembentangan terbaik pula dimenangi oleh Sekolah Menengah St John, Sabah, manakala SMK Seri Pekan, Pahang menjuarai kategori Pameran Terbaik dan SMK St Teresa menguasai kategori Pengibatan Komuniti Terbaik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial