JENAYAH & MAHKAMAH

KETUA POLIS BALAI DIDAKWA KASARI ORANG AWAM DIPINDAH KE JABATAN LAIN

14/01/2024 04:38 PM

JOHOR BAHRU, 14 Jan (Bernama) -- Seorang Ketua Polis Balai yang didakwa melakukan kekerasan terhadap orang awam baru-baru ini telah dipindahkan ke jabatan lain.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata langkah itu diambil sementara menunggu hasil siasatan dalaman yang dilakukan oleh pihaknya.

"Ketua Polis Balai berkenaan telah dipindahkan ke satu jabatan lain di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat sementara siasatan dijalankan. Jabatan itu juga tidak memerlukan individu itu berurusan dengan awam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata tindakan sewajarnya akan diambil selepas siasatan selesai.

Jumaat lepas, Kamarul Zaman berkata polis menyiasat dakwaan bahawa seorang Ketua Polis Balai melakukan kekerasan terhadap orang awam seperti dipaparkan video yang tular di media sosial baru-baru ini.

Video berdurasi 37 saat itu memaparkan individu didakwa Ketua Polis Balai menengking dan menampar berulang kali serta menarik rambut seorang lelaki di tempat awam yang tidak dinyatakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan