AM

Isteri Tun Daim, Dua Anak Beri Keterangan Di Sprm

10/01/2024 09:48 PM

PUTRAJAYA, 10 Jan (Bernama) -- Isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid dan dua anaknya hari ini hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dipercayai bagi membantu siasatan berkaitan bekas Menteri Kewangan dan ahli perniagaan itu.

Nai’mah, Muhammad Amin Zainuddin dan Muhammad Amir Zainuddin tiba di ibu pejabat SPRM itu pada kira-kira pukul 10.05 pagi bersama dua peguam. 

Nai’mah dalam kenyataan yang diedarkan kepada media sebelum memasuki  premis SPRM berkenaan berkata beliau dan anaknya akan memberikan kerjasama kepada SPRM seperti dikehendaki undang-undang.

Pengarah Bahagian Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi Bernama mengesahkan SPRM perlu mengambil keterangan isteri Tun Daim dan siasatan dibuat mengikut undang-undang berkaitan pencegahan pengubahan wang haram.

SPRM sebelum ini menjelaskan bahawa siasatan terhadap Daim dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora, dan menurut SPRM kertas siasatan terhadap bekas menteri kewangan itu telah dibuka pada Februari tahun lepas.

Kertas Pandora adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Menurut SPRM, siasatan ke atas Daim dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Pada Dis tahun lepas, Menara Ilham di Kuala Lumpur  yang dikaitkan dengan Daim dilaporkan disita SPRM.

Selepas hampir sembilan jam dirakam keterangan oleh SPRM, Nai’mah, Muhammad Amin Zainuddin dan Muhammad Amir Zainuddin, dibenarkan pulang pada kira-kira 7.40 malam.

Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Nai’mah ketika ditemui media berkata anak guamannya telah memberi kerjasama baik kepada pegawai penyiasat SPRM dan menjawab 50 soalan yang ditujukan kepadanya.

Bagaimanapun, Nagarajan berkata SPRM masih tidak menyatakan apakah kesalahan yang dilakukan anak guamannya dalam siasatan itu.

Peguam Sachpreetraj Sohanpal yang mewakili kedua-dua anak Daim, Muhammad Amin Zainuddin dan Muhammad Amir Zainuddin pula berkata anak guamannya ditujukan 30 soalan setiap seorang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan