PUTRAJAYA, 4 Jun (Bernama) -- Urusan pelepasan gadaian atau penyerahan hak selepas pembiayaan perumahan dilunaskan sepenuhnya oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) ialah amalan yang sudah lama dilaksanakan, bukan polisi baharu seperti yang disalah tafsir oleh sesetengah pihak.
LPPSA dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengambil maklum bahawa terdapat kekeliruan berhubung hebahan berkaitan urusan itu, justeru tampil memberi penjelasan bagi memperbetul salah tanggapan yang timbul.
"Urusan pelepasan gadaian atau penyerahan hak selepas penyelesaian penuh pembiayaan telah lama diamalkan sebagai sebahagian daripada proses selepas pembiayaan selesai sepenuhnya.
"Tanggungjawab untuk menyempurnakan urusan pelepasan gadaian atau penyerahan hak sentiasa terletak kepada peminjam," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, LPPSA menasihati peminjam supaya memastikan urusan berkenaan diselesaikan dengan sempurna bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa hadapan khususnya melibatkan urusan pewarisan, pembahagian pusaka dan pindah milik hartanah.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa LPPSA turut menggalakkan peminjam melantik peguam bagi membantu memastikan proses serta dokumentasi dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, lancar dan sempurna.
"Cadangan melantik peguam adalah demi melindungi kepentingan peminjam dan memastikan urusan pelepasan gadaian dapat disempurnakan dengan baik dan bukannya bertujuan mewujudkan kewajipan baharu atau mengenakan kos tambahan kepada peminjam," menurut LPPSA.
Bagaimanapun, LPPSA menegaskan bahawa peminjam masih mempunyai pilihan untuk menguruskan sendiri namun tertakluk kepada pematuhan prosedur dan keperluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Pemerhatian mendapati terdapat peminjam yang tidak menyempurnakan urusan pelepasan gadaian walaupun pembiayaan telah selesai sekali gus berpotensi menimbulkan komplikasi pada masa akan datang.
"LPPSA kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan yang telus, efisien dan mesra pelanggan serta akan terus membantu meningkatkan kesedaran peminjam mengenai kepentingan menyempurnakan urusan pelepasan gadaian atau penyerahan hak selepas pembiayaan selesai sepenuhnya," menurut kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan melalui portal pertanyaan/aduan rasmi LPPSA e-Tiket, sembang langsung, e-kaunter, Lia Chatbot di laman sesawang LPPSA atau menghubungi Pusat Panggilan LPPSA di talian 03-8880 1600.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial