KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Permohonan kemasukan pelajar tingkatan satu 2024 bagi Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia - Yayasan Selangor (RKPYS) dibuka mulai esok.
Yayasan Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 491 tempat diperuntukkan di 32 sekolah di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada murid tahun enam 2023 yang layak.
"Pemohon perlu mendapat Tahap Penguasaan (TP) 3 untuk semua mata pelajaran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Tahun 6 sekolah rendah, bersekolah di sekolah rendah Kementerian Pendidikan (KPM) atau sekolah swasta yang berdaftar di bawah KPM dengan keutamaan diberikan kepada murid luar bandar.
"Pemohon atau ibu atau bapa ialah warganegara Malaysia yang lahir di Selangor atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun selain berpendapatan per kapita kurang RM2,000 sebulan," menurut yayasan itu.
Pelbagai kemudahan ditawarkan kepada murid yang terpilih termasuk asrama, biasiswa, kelas bimbingan, program kecemerlangan akademik, pembangunan kendiri dan pemantauan berterusan daripada guru yang dilantik.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui www.yayasanselangor.org.my sebelum tarikh tutup pada 15 Jan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial