KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Tujuh sekolah rendah di Johor dinobatkan sebagai juara bagi lapan kategori dalam acara tahunan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) 2023 dengan SK Taman Suria di Johor Bahru merangkul juara keseluruhan “Kategori Sekolah Terbaik”.
Sekolah itu juga meraih anugerah dalam “Kategori Minyak Masak Terpakai” apabila berjaya mengumpulkan 3,579.85kg minyak masak dalam cabaran yang dianjurkan untuk memacu kesedaran dan pendidikan rendah karbon dalam kalangan pelajar sekolah rendah di seluruh negeri.
Anugerah utama lain menyaksikan SK Kampong Baharu dari Pontian memenangi (Kategori Khas: Sekolah Rendah Enrolmen), SK Pendidikan Khas Princess Elizabeth dari Johor Bahru (Kategori Khas : Sekolah Pendidikan Khas) dan SJKC Kuo Kuang 2 dari Johor Bahru (Kategori Kitar Semula).
“`Kategori Jimat Air' dirangkul SJKC Pei Chih dari Ulu Tiram manakala SJKC Foon Yew 1, Johor Bahru meraih tempat utama ‘Kategori Jimat Tenaga’ untuk penjimatan air dan elektrik,” menurut Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, pelajar Nurul Iman Rahmat dari SK Kulai memenangi “Kategori Pelajar dan Keluarga” IMELC yang mendapat sokongan 10 rakan kongsi daripada kerajaan, sektor swasta dan sebuah yayasan.
Sejumlah 58 anugerah ditawarkan dengan lapan anugerah utama disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor Norlizah Noh semasa hari pertama Karnival Iskandar Puteri Rendah Karbon baru-baru ini.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Dr Badrul Hisham Kassim berkata masyarakat memainkan peranan penting dalam mengekalkan masa depan “hijau” dan minat serta penyertaan mereka dalam usaha itu harus bermula sejak mereka muda untuk membangunkan mereka menjadi juara alam sekitar.
“Ini bukan satu pencapaian yang mudah dan IMELC telah berjaya menarik dan mendidik semakin ramai kanak-kanak sekolah terutamanya kerana perhatian dan sokongan yang diterima daripada pelbagai rakan kongsi sepanjang 10 tahun lepas,” katanya.
Penganjuran IMELC 2023 membabitkan badan berkanun IRDA, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertindak selaku agensi pelaksana manakala Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, SWM Environment Sdn Bhd, Ranhill SAJ Sdn Bhd dan Sunway Iskandar Sdn Bhd sebagai rakan kongsi utama.
IMELC yang bermula sebagai projek perintis pada 2013 dengan penyertaan 23 sekolah kini menyaksikan 100,000 pelajar dari 900 sekolah rendah sekitar Johor terlibat dalam program itu.
Pandemik COVID-19 telah mendorong IMELC untuk menggunakan pendekatan yang lebih berasaskan digital untuk aktiviti pengumpulan data dan penglibatan, iaitu pada penghujung 2020, IRDA melalui pembiayaan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendigitalkan modul IMELC melalui laman web yang merangkumi gamifikasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial