EKONOMI

Pelabur Asing Catat Jualan Bersih Minggu Lepas, Trend Yang Sama Dilihat Di Bursa Serantau Lain

11/12/2023 10:44 AM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Pelabur asing mencatatkan jualan bersih RM276.4 juta minggu lepas selepas merekodkan pembelian bersih selama lima minggu, kata MIDF Research.

Trend yang sama turut dilihat di Taiwan, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Dalam Laporan Aliran Dana untuk minggu berakhir 8 Dis 2023, firma penyelidikan itu berkata jualan bersih tertinggi untuk minggu itu dilihat pada Khamis berjumlah RM95.4 juta, diikuti Isnin sebanyak RM92.5 juta.

Tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih minggu lepas ialah utiliti (RM118.5 juta), hartanah (RM19.1 juta) dan pembinaan (RM9.4 juta).

Tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih ialah produk dan perkhidmatan pengguna (RM191.3 juta), pengangkutan dan logistik (RM62.3 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM48.4 juta).

Sebaliknya, institusi tempatan bertukar kepada pembeli bersih, mencatatkan belian RM194.0 juta selepas menguasai jualan bersih lima minggu berturut-turut.

“Belian bersih dilihat hampir setiap hari dagangan minggu berkenaan, kecuali Selasa apabila terdapat aliran keluar RM21.4 juta.

“Pada hari itu, institusi tempatan dilihat  menjual saham Kumpulan CIMB (RM25.5 juta), YTL Power (RM16.7 juta), dan Public Bank (RM15.3 juta),” kata MIDF Research.

Pada masa yang sama, peruncit tempatan mengekalkan pembelian bersih ekuiti domestik mereka untuk minggu kedua berturut-turut pada RM82.4 juta.

“Ini mewakili kadar sederhana yang ketara berbanding pembelian bersih RM210.9 juta yang dicatatkan pada minggu sebelumnya,” katanya.

Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan - peruncit tempatan (15.3 peratus), institusi tempatan (16.4 peratus), dan pelabur asing (49.9 peratus).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan