AM

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani Bantu Orang Ramai Tahu Perkhidmatan Ditawarkan

10/12/2023 08:07 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI selama tiga hari di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini membolehkan rakyat mengetahui secara langsung mengenai sesuatu kementerian dan perkhidmatan yang ditawarkan. 

Jurujual Chong Wei Feng, 41, dari Petaling Jaya, Selangor berkata pendekatan secara bersemuka juga memudahkan orang ramai menyuarakan sebarang masalah dihadapi selain mengelak daripada terpedaya dengan laporan tidak betul di media sosial. 

"Biasanya kita mendapat tahu sesuatu perkara mengenai kerajaan melalui akhbar atau media sosial, kali ini kita pergi sendiri dan bertanya secara bersemuka... ini sebenarnya lebih mudah dan faham," katanya kepada Bernama pada hari terakhir Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI.

Bagi penjawat awam, Mohd Faizan Mat Zambri, 45, program itu mampu membina kepercayaan dan keyakinan antara kerajaan dengan rakyat.

"Program ini bagus kerana antara pengisiannya ialah mengenai kemajuan kerajaan itu sendiri melalui penyertaan setiap kementerian dan agensi selepas setahun mendapat mandat daripada rakyat. Rakyat mahu lihat sejauh mana mereka bekerja," katanya.

Seorang suri rumah, Fadzilah Ismail, 59, dari Kepong, Kuala Lumpur pula berkata program itu memberi peluang kepada rakyat untuk berinteraksi secara terus dengan pihak kementerian.

"Saya datang ke sini kerana menemani anak mecari peluang pekerjaan di Karnival Kerjaya. Jujurnya mereka sangat menyantuni dan melayan pengunjung dengan cukup berhemah," katanya.

R.Darmesh, 21, dari Semenyih, Selangor pula berpandangan program itu memberi pelbagai manfaat kepada rakyat terutama golongan kurang berkemampuan kerana terdapat pelbagai diskaun ditawarkan dalam sektor berbeza.

"Paling ketara ialah jualan Agro MADANI kerana rakyat berpeluang membeli barangan keperluan pada harga rendah selain pengurangan 50 peratus saman trafik," kata penuntut Kolej Universiti Sunway itu yang turut mengambil peluang itu untuk membayar dua saman trafiknya.

Bagi Kok Fang Lin, pelajar berumur 18 tahun dari Johor Bahru, langkah kerajaan melaksanakan program itu di peringkat negeri memberi peluang untuk kerajaan lebih dekat dengan rakyat selain memberi peluang kepada peniaga menjana pendapatan tambahan.

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam itu memfokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan