POLITIK

Keputusan Pecat Isham Dibuat Mt Umno - Ahmad Zahid

09/12/2023 06:14 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Keputusan memecat Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO) Isham Jalil daripada parti itu dibuat oleh MT parti, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata keputusan itu dibuat oleh MT parti tanpa perlu melalui Jawatankuasa Disiplin.

"Jawatankuasa Disiplin pun akan bawa ke Majlis Tertinggi, Majlis Tertinggi akan memutuskannya. Apa yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi itu adalah muktamad," katanya ketika ditanya mengenai dakwaan Isham tidak diadili oleh Jawatankuasa Disiplin parti dan keputusan pemecatan itu dibuat oleh presiden parti.

Ditanya sama ada keputusan itu sebagai amaran kepada pihak yang mengkritik UMNO dan presiden parti, Ahmad Zahid berkata tindakan mengkritik presiden tidak menjadi pertimbangan bagi keputusan itu dibuat.

"Tetapi apabila menghina parti sendiri dan mengecilkan UMNO sebagai sebuah parti yang dianggotainya, ertinya tindakan itu dilakukan MT supaya tidak ada usaha ‘tikus membaiki labu’ ini dalam UMNO itu sendiri.

... Orang itu kalau ada lagi dalam UMNO akan rosak lagi UMNO," katanya. 

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Seri Idris Ahmad bahawa UMNO perlu berterima kasih kepada Bersatu kerana menjadikan UMNO sebahagian daripada kerajaan sebelum ini, Ahmad Zahid berkata PAS sepatutnya berterima kasih kepada UMNO.

"Datuk Seri Idris tak mengetahui apa yang telah dilakukan UMNO, sepatutnya beliau berterima kasih kerana sebelum itu beliau adalah pembangkang juga.

Pembentukan kerajaan ketika itu datangnya daripada sumbangan UMNO kerana ketika itu PAS hanya mempunyai 18 kerusi manakala UMNO dan BN secara keseluruhannya mempunyai 68 kerusi, sepatutnya mereka berterima kasih kepada UMNO," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan