DUNIA

Peningkatan Keganasan Di Timur Drc Paksa Puluhan Ribu Penduduk Larikan Diri - Pbb

09/12/2023 01:16 PM

NEW YORK, 9 Dis (Bernama-Xinhua) -- Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan ekoran peningkatan pertempuran di timur Republik Demokratik Congo (DRC) yang mengakibatkan puluhan ribu penduduk di bandar Masisi, wilayah North Kivu hilang tempat tinggal, lapor Xinhua.

Beberapa sumber tempatan melaporkan pada Khamis bahawa penduduk di beberapa kampung melarikan diri dari rumah mereka berhampiran Mushaki, kira-kira 45 kilometer (km) dari Goma City susulan pertempuran antara tentera Congo dan kumpulan-kumpulan pemberontak.

Antara kampung terlibat ialah Bihambwe yang menyaksikan ribuan penduduk terpaksa mencari perlindungan akibat keganasan terbaharu itu.

Orang awam terpaksa melarikan diri, termasuk 60,000 penduduk yang mencari perlindungan selepas tiba di kawasan itu bulan lepas.

Pejabat itu berkata akses untuk rakan kemanusiaannya sangat terhad di wilayah itu dengan jalan menghubungkan Goma ke tengah Masisi terputus. 

Menurut OCHA antara Julai dan Oktober, organisasi bantuan memberikan bantuan kepada tiga juta daripada lebih lima juta penduduk yang memerlukan bantuan segera di wilayah North Kivu, South Kivu dan Ituri.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan