AM

Pengiktirafan Unesco Penghargaan Tertinggi Kepada Pewaris Mek Mulung

07/12/2023 09:15 PM

ALOR SETAR, 7 Dis (Bernama) -- Pengiktirafan Mek Mulung di bawah Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Yang Perlu Dilindungi adalah penghargaan tertinggi kepada pewaris dan penggiat seni tradisional sekali gus mengangkat serta memartabatkan teater tradisi warisan Kedah Tua itu.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah Sabarina Masadi berkata sejak sekian lama, pihaknya sentiasa berusaha untuk membangun, mempertahan, mengangkat serta memperkenal kesenian Mek Mulung.

"Kita semakin kehilangan tokoh dan penggiat Mek Mulung, jadi ini adalah masa yang amat sesuai apabila pihak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melihat teater tradisional ini sebagai satu kesenian yang harus dibantu dan diangkat agar tidak melalui zaman kepupusan," katanya kepada Bernama hari ini.

Pada Selasa lepas, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengumumkan bahawa pengiktirafan itu dibuat pada Sesi ke-18 Jawatankuasa Antara Kerajaan Bagi Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara (IGC ICH) yang berlangsung di Kasane, Republik Botswana dari 4 hingga 9 Dis ini.

Sabarina juga berkata antara usaha berterusan JKKN Kedah dalam 'menghidupkan' Mek Mulung ialah menjalin kerjasama rapat dengan pewaris dan penggiat teater tradisional itu dengan menghasilkan modul yang boleh dijadikan rujukan para penggiat seni.

Beliau berkata bengkel turut dianjurkan dengan kerjasama tokoh dan Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Kedah (AKRAB) bagi melahirkan kumpulan perantis serta memberi peluang kepada mereka untuk membuat persembahan. 

"Selain itu, kita berhasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membawa Kumpulan Mek Mulung Seri Mahawangsa (gabungan JKKN Kedah, AKRAB dan Kumpulan Mek Mulung Wang Tepus) menjelajah di seluruh Malaysia untuk menyemarakkan lagi teater tradisional ini.

"Baru-baru ini, AKRAB telah mendapat bantuan daripada MOTAC untuk melaksanakan Festival Merakyatkan Seni Budaya Mek Mulung@Wang Tepus ‘Warisan Akar Umbi.’ Bantuan itu, selain daripada pelaksanaan program, juga terdapat peruntukan untuk membina bangsal di tapak asal di Kampung Wang Tepus dan pembuatan kostum," katanya. 

Sabarina berkata pihaknya berharap dengan pengiktirafan itu, Kumpulan Mek Mulung Wang Tepus akan meneruskan usaha serta lebih giat melatih anak-anak muda khususnya di Kampung Wang Tepus untuk mencari pelapis.

Beliau berkata JKKN juga merancang untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi lain termasuk pihak berkuasa tempatan dalam usaha menjadikan bangsal itu sebagai hab kesenian setempat dan antara lokasi pelancongan budaya di Kedah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan