JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS KLASIFIKASI KEMATIAN KANAK-KANAK AUTISME, ZAYN RAYYAN SEBAGAI KES BUNUH

07/12/2023 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Polis mengklasifikasikan kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin sebagai kes bunuh selepas proses bedah siasat dilakukan di Hospital Sungai Buloh hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi berkata hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan di leher dan badan mangsa berusia enam tahun itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Selepas dilaporkan hilang tengah hari semalam di Damansara Damai, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia dalam aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira 10 malam tadi.

Mayat kanak-kanak lelaki itu dijumpai kumpulan penduduk yang turut membantu operasi mencari mangsa.

Mangsa ditemukan terbaring di sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Terdahulu, ibu Zayn Rayyan dilaporkan menyedari kehilangan anaknya ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah mereka di tingkat tiga apartmen itu kira-kira 12.30 tengah hari, sebelum kanak-kanak berkenaan dikatakan kali terakhir dilihat memasuki kawasan belukar berhampiran Apartmen Idaman.

Sementara itu, Hussein berkata satu pasukan siasatan khas ditubuhkan bagi menyiasat kes kematian kanak-kanak autisme itu.

Beliau berkata pasukan berkenaan terdiri daripada pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Selain itu, Hussein berkata ibu dan bapa mangsa akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan