JENAYAH & MAHKAMAH

Lima Lelaki Ditahan Bergaduh Hingga Cedera Parah

07/12/2023 12:09 AM

GEORGE TOWN, 6 Dis (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan individu sehingga seorang cedera parah di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, di sini awal pagi hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt V.Saravanan berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 2.30 pagi dan sepasukan polis dari cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut terus ke lokasi kejadian.

"Sebaik pihak polis tiba di lokasi kejadian, mendapati seorang lelaki berlumuran darah kerana mengalami kecederaan di kepala dan dia juga sedang memegang sepucuk pistol ketika itu. Polis menahannya untuk siasatan lanjut," katanya di sini hari ini.

Saravanan berkata dalam masa sama dua anggota bertindak mengejar sebuah kereta yang dinaiki sekumpulan lelaki dipercayai turut terlibat dalam pergaduhan itu dan mahu melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Beliau berkata polis kemudiannya berjaya menahan empat lelaki yang melarikan diri dan siasatan awal mendapati pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham antara mereka. 

"Ekoran penahanan lima lelaki itu, polis merampas sepucuk pistol dan sebilah senjata tajam yang digunakan dalam kejadian pergaduhan tersebut manakala lelaki yang cedera parah itu menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata kesemua lelaki tempatan yang ditahan itu berusia 24 hingga 34 tahun dan mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan