AM

Arjuna Sakti Smk Tanah Merah 1, Johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara

06/12/2023 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Kumpulan Arjuna Sakti dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 1, Tanah Merah, Kelantan diisytiharkan sebagai johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2023, anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) bagi kategori Kelab Malaysiaku.

JaPen dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kumpulan dengan sketsa bertajuk Tok Belantara itu memenangi hadiah wang tunai RM6,000, piala, plak dan sijil penyertaan.

Kumpulan Anak Seni Teater Ghafar Baba dari SMK Ghafar Baba, Masjid Tanah, Melaka dengan sketsa Pohon Lima menjadi naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi Kumpulan Citra Harmoni dari SMK Datuk Haji Abdul Kadir, Kepala Batas, Pulau Pinang dengan sketsa Jalinan Perpaduan.

Bagi kategori khas kumpulan orang kurang upaya (OKU), Kumpulan G19 dari Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Seksyen 19, Shah Alam, Selangor dengan sketsa Aku Anak Malaysia, dipilih sebagai johan dan membawa pulang piala, hadiah wang tunai RM3,000, plak serta sijil penyertaan.

Kumpulan Seri Pepatih dari PPKI SMK Seremban 2, Negeri Sembilan dengan sketsa Ikrar Keramat dipilih sebagai naib johan, manakala tempat ketiga diraih Kumpulan Sejiwa dari PPKI SMK Jawi, Sungai Jawi, Pulau Pinang yang mempersembahkan sketsa Rukun Negara Kunci Perpaduan Rakyat Malaysia.

“Pertandingan yang merupakan aktiviti komunikasi bersemuka ini, berkonsepkan seni lakon dan penceritaan yang bertujuan meningkatkan kefahaman dan penghayatan mengenai Rukun Negara, selain dapat menyemai semangat perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum dan peringkat umur, khususnya ahli Kelab Malaysiaku.

“Pertandingan ini platform terbaik disediakan oleh JaPen dalam menyampaikan maklumat dan mesej kenegaraan selain dapat membina jaringan strategik antara JaPen bersama golongan belia khususnya pelajar sekolah menengah,” menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan JaPen, pertandingan bertemakan prinsip Rukun Negara itu dilaksanakan secara Facebook Live JaPen Negeri terlibat, pada 27 Nov lepas.

Sesi penjurian pertandingan itu dilaksanakan hari ini menggunakan kaedah pelaksanaan secara hibrid iaitu secara bersemuka di Anjung@32, Kompleks Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Putrajaya dan Facebook Live Jabatan Penerangan Malaysia.

“Juri profesional menilai teknik penyampaian dan penceritaan peserta dalam tempoh 15 minit, yang diperuntukkan berdasarkan kriteria-kriteria seperti ketepatan fakta dan keaslian karya, mesej kenegaraan Rukun Negara dan kebolehan menjiwai watak.

“Peserta juga diadili menerusi pengolahan bahasa yang baik, indah dan gramatis, selain menampilkan gaya pakaian dan prop bersesuaian. Persembahan peserta diadili melalui penilaian oleh juri profesional sebanyak 80 peratus dan jumlah kutipan like Facebook sebanyak 20 peratus,” menurut kenyataan itu.

Pertandingan Sketsa Rukun Negara mula diadakan di peringkat negeri pada 2012 dan pertama kali dilaksanakan di peringkat kebangsaan bermula 2019.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan