JENAYAH & MAHKAMAH

Tumbuk Ibu Enggan Beri Rm10, Buruh Sawit Dipenjara Setahun

30/11/2023 03:30 PM

TELUK INTAN, 30 Nov (Bernama) -- Seorang buruh kebun sawit dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas ibu kandungnya yang enggan memberi wang, pada Isnin lepas.

Majistret T.  Ashvinii memerintahkan Chai Chon Tak, 29, dijatuhi hukuman itu bermula tarikh tangkap iaitu pada hari kejadian.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki terbabit dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas Hew Yoke Cheng, 50, yang merupakan ibu kandungnya di sebuah rumah dalam bangunan pejabat DAP, Lorong Taman Langkap Jaya di sini, kira-kira 3 petang 27 Nov lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda dari tempoh maksimum pemenjaraan untuk kesalahan di bawah seksyen yang berkaitan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan memohon hukuman bersifat pengajaran dikenakan kepada Chai dengan mempertimbangkan kecederaan kepada wanita berkenaan dan punca tertuduh meminta wang yang berlaku di depan khalayak ramai.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, F. Faustina yang mewakili Chai merayu hukuman minimum dengan alasan anak guamnya yang masih bujang perlu menanggung ibu bapa dan pengakuan bersalah menjimatkan masa mahkamah.

Mengikut fakta kes, Chai meminta wang sebanyak RM10 dan disebabkan ibunya enggan memberikan wang, dia bertindak menumbuk lengan kiri ibunya yang ketika itu berada bersama dua rakannya.

Ibunya yang enggan memberi Chai wang kerana mendakwa anaknya itu menghisap dadah membuat laporan polis kerana kejadian itu sering berlaku, dan bimbang terjadi perkara tidak baik terhadap beliau di kemudian hari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan