SEREMBAN, 29 Mei (Bernama) -- Majikan di Negeri Sembilan digalakkan menggaji pekerja tempatan daripada pelbagai sumber sedia ada termasuk prospek (penghuni) penjara sebagai alternatif mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata ia termasuk menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan iaitu Jabatan Penjara Malaysia menerusi Orang Diselia (ODS), Orang Diparol (ODP) dan Orang Bebas Berlesen (OBB).
Beliau berkata setakat tahun ini, 549 pekerja tempatan dalam kalangan prospek daripada penjara di negeri ini dibekalkan kepada 76 majikan khususnya dalam sektor perkilangan untuk menjalani latihan kerjaya.
"Daripada jumlah itu, sebanyak sembilan syarikat telah menggajikan 368 banduan ODS, 54 syarikat (135 OBB) dan 13 syarikat (46 ODP). Kita berharap jumlah itu akan bertambah dari semasa ke semasa.
"Setakat ini tiada sebarang aduan atau isu membabitkan pekerja di bawah seliaan penjara ini malah rata-rata majikan berpuas hati dengan prestasi serta disiplin kerja yang tinggi. Oleh sebab itu kita galakkan lebih ramai syarikat terlibat dengan pengambilan pekerja tempatan menerusi sumber daripada penjara ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Seminar Perburuhan-Kolaborasi Tripartite Di Antara Majikan, Pekerja dan Agensi Kerajaan dalam Memperkasakan Ekonomi Mampan di Negeri Sembilan di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Tenaga Kerja negeri Roslan Bahari, Pengarah Penjara Negeri Sembilan Ahmad Mustaqim Che Bisi dan Pengurus Cawangan HRD Corp Negeri Sembilan Mohd khairul Nizam Supaat.
Veerapan berkata kesemua prospek itu akan dipantau oleh pihak penjara sehingga mereka menamatkan tempoh hukuman dan diserapkan sebagai pekerja tetap di situ.
Beliau berkata majikan yang mengambil pekerja daripada penjara akan menerima geran kerajaan menerusi Subsidi Daya Kerjaya iaitu RM300 bagi setiap banduan yang diambil bekerja.
Dalam pada itu, Veerapan berkata seminar hari ini penting bagi memperkukuh hubungan antara pekerja, majikan dan agensi kerajaan yang merupakan pihak utama dalam ekosistem pekerjaan sekali gus memperkasakan ekonomi Negeri Sembilan.
Jelasnya, konsep tripartisme merujuk kepada kerjasama antara majikan, pekerja dan kerajaan dalam memastikan kestabilan pasaran buruh, meningkatkan produktiviti, menjamin hak dan kebajikan pekerja serta majikan.
Sementara itu, Roslan memaklumkan terdapat satu kes membabitkan buruh paksa dikesan di sekitar Seremban bagaimanapun kes berkenaan masih dalam siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial