EKONOMI

MIDF, MIDA, BIZSPHERE ANJUR 'MALAYSIA SMART MANUFACTURING AWARD 2023 BIZ TALK AND FORUM'

29/11/2023 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Malaysia Industrial Development Finance Bhd (MIDF) bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Bizsphere Sdn Bhd untuk menganjurkan Malaysia Smart Manufacturing Award 2023 Biz Talk and Forum bertajuk Tech Up for Smart Manufacturing.

Acara yang diadakan hari ini menjadi perhimpunan penting bagi pemimpin industri, pakar dan pihak berkepentingan untuk membincangkan intipati “Misi 2” Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, “Meningkatkan teknologi untuk membina negara berdigital”.

Pengerusi MIDA Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata “Misi 2” NIMP 2030 bertujuan untuk memacu pendigitalan, meningkatkan produktiviti tenaga kerja, menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk produk bernilai tinggi serta meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.

“Menyedari sifat dinamik masa depan pembuatan, mengukuhkan kerjasama dalam ekosistem pembuatan tempatan adalah penting. 

“Berdasarkan syarikat global memacu pembuatan termaju di Malaysia, perusahaan tempatan yang memanfaatkan teknologi terkini akan menjadi berdaya saing di peringkat global dan mewujudkan pekerjaan yang menarik dan berkualiti.

“Inovasi, R&D, teknologi khusus dan proses produktiviti yang tinggi membentuk asas, memacu industri ke hadapan,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Azizi Mustafa menegaskan komitmen kumpulan sebagai institusi kewangan pembangunan untuk menyokong perniagaan tempatan dalam perjalanan pertumbuhan mereka dan penggunaan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

“MIDF komited untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang memperkasakan perniagaan untuk menerima pakai teknologi pada kadar pembiayaan yang amat kompetitif.

“Dalam era apabila transformasi digital adalah penting, kami teguh dalam sokongan kami terhadap perusahaan tempatan yang menceburi amalan pembuatan pintar,” katanya.

Azizi turut menggesa syarikat yang berjaya menyepadukan teknologi dan automasi dalam operasi mereka untuk menyertai acara Malaysia Smart Manufacturing Award. 

“Syarikat-syarikat ini boleh menjadi contoh dan memberi inspirasi kepada orang lain, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana, untuk memulakan perjalanan mereka ke arah Industri 4.0.

“Dengan mengiktiraf dan meraikan pencapaian ini, kami berhasrat untuk mewujudkan kesan yang berterusan, menggalakkan budaya inovasi dan kemajuan teknologi dalam landskap perniagaan Malaysia,” katanya.

Selain acara ini, MIDF dan Bizsphere menganjurkan Forum Automasi dan Digital MIDF sepanjang tahun ini di enam wilayah di seluruh negara, mendapat sambutan yang baik daripada pemain industri dan menggalakkan penerokaan automasi dan pendigitalan dalam operasi perniagaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan