EKONOMI

Prestasi Cemerlang Petronas Dicapai Melalui Pengurusan, Tatakelola Yang Cekap - PM

29/11/2023 09:02 PM

KERTEH, 29 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga terhadap Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kerana mampu mempertahan integriti yang sangat tinggi sejak dahulu hingga kini.

Beliau berkata prestasi terkini Petronas sehingga mampu memberi pulangan ratusan bilion ringgit kepada negara tidak mungkin dapat dicapai sekiranya syarikat itu tidak mengamalkan pengurusan dan tatakelola yang baik serta cemerlang.

“Dalam keadaan negara terumbang-ambing, kucar-kacir dengan prestasi pengurusan dan tatakelola yang lemah serta sistem tergugat dengan amalam rasuah, pelbagai skandal yang kadang-kadang menjejaskan imej negara... saya bangga Petronas dapat mempertahan integriti yang sangat tinggi.

"Pengajaran yang kita peroleh daripada pengalaman Petronas ialah negara kita ini mampu diangkat sebagai negara hebat dengan syarat adanya pemimpin politik, pengurusan seperti Petronas, penjawat awam dan dasar yang jelas serta pengurusan yang cekap,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Warga Petronas di Kompleks Petronas Pantai Timur di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri Naib Presiden Eksekutif Petronas (Hiliran) Datuk Sazali Hamzah dan kira-kira 600 kakitangan Petronas Pantai Timur.

Perdana Menteri berkata prestasi cemerlang Petronas juga telah menarik minat pelabur dari pelbagaj negara termasuk China, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu yang ingin melabur serta bekerjasama dengan syarikat minyak dan gas itu.

Malah katanya beliau difahamkan syarikat minyak gergasi Saudi Aramco dijangka mengadakan mesyuarat lembaganya di Malaysia pada tahun depan.

Anwar berkata kerana keyakinan yang tinggi terhadap Petronas juga, Saudi Aramco  berminat  menjadikan Malaysia sebagai hab perkembangan minyak dan gas Arab Saudi di Asia Tenggara.

"Saya telah berjumpa dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman… beliau beritahu saya bahawa beliau mahu menjadikan pelaburan Aramco di Pengerang bersama Petronas dan Malaysia sebagai hab penting bagi pelaburan Arab Saudi di Malaysia dan untuk rantau ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan