JENAYAH & MAHKAMAH

Bot Nelayan Tempatan Dikendali Lima Lelaki Myanmar Ditahan

17/11/2023 04:44 PM

GEORGE TOWN, 17 Nov (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang menggajikan lima warga Myanmar tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri di 48 batu nautika barat daya Pulau Kendi semalam.

Pemangku Pengarahnya S. Nak Rong berkata kapal KM Burau yang sedang menjalankan rondaan telah mengesan bot nelayan kelas C itu dan pemeriksaan mendapati terdapat lima kru termasuk tekong warga Myanmar berada di atas bot berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati kesemua lelaki berumur 22 hingga 45 tahun itu tidak mempunyai permit kelulusan penggunaan kru bukan warganegara daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Malah, mereka juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah sewaktu pemeriksaan dijalankan dan kami menahan semua warga Myanmar terbabit untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

APMM Pulau Pinang katanya, turut merampas semua hasil laut sebanyak 1,500 kilogram daripada bot itu dan mengesan pemilik bot untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki permit atau pas yang sah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan