AM

ASEAN Perlu Perkukuh Perpaduan Demi Pertahan Ketertiban Serantau - Menteri Indonesia

10/07/2025 12:10 PM

JAKARTA, 10 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Indonesia Sugiono menggesa ASEAN agar memperkukuh perpaduan dan menegaskan semula peranan utamanya dalam mempertahankan ketertiban serantau, di tengah ketegangan geopolitik dan kerumitan yang semakin meningkat.

“ASEAN perlu menegaskan peranannya sebagai peneraju kepada ketertiban serantau. Perpaduan dan peranan Kepusatan tidak boleh dikompromi,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan Kementerian Luar Indonesia pada Khamis.

Sugiono menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Kuala Lumpur pada Rabu, yang membincangkan isu-isu serantau termasuk krisis Myanmar, jenayah rentas sempadan, Laut China Selatan serta perlindungan rakyat semasa konflik.

Dalam sesi itu, para menteri mengulangi komitmen terhadap Konsensus Lima Perkara sebagai kerangka penyelesaian kepada krisis berpanjangan di Myanmar.

Sugiono turut menggesa agar keganasan dihentikan serta bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan segera.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan jenayah rentas sempadan, khususnya penipuan dalam talian yang turut mendorong isu berkaitan seperti pemerdagangan manusia dan penyeludupan dadah.

Mesyuarat itu turut mengalu-alukan kemajuan dalam rundingan Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan serta mengesahkan semula komitmen untuk mempercepatkan rundingan berdasarkan garis panduan yang dipersetujui ASEAN bagi mencapai hasil bermakna dan berkesan.

“ASEAN mesti kekal komited dalam memuktamadkan CoC yang substantif dan efektif, serta diharapkan dapat membantu mengekalkan kestabilan maritim di Laut China Selatan,” kata Sugiono.

Di tengah ketidaktentuan global dan konflik yang kian meningkat, beliau menekankan keperluan ASEAN untuk bersiap sedia melindungi rakyatnya di kawasan bergolak, termasuk memanfaatkan garis panduan sedia ada bagi penyampaian bantuan kecemasan melalui misi-misi ASEAN di negara lain.

Sesi itu diakhiri dengan penegasan semula terhadap tanggungjawab kolektif ASEAN untuk memastikan rantau ini kekal berdaya tahan, bersatu padu dan proaktif dalam membentuk ketertiban serantau yang aman dan stabil, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan