AM

Lebih Rm60,000 Bantuan Tbtp, Ppspa Diluluskan Bantu Petani Terjejas Bencana

31/10/2023 02:46 PM

TAIPING, 31 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak meluluskan 19 permohonan melibatkan peruntukan berjumlah RM60,250.20 melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dan Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) bagi membantu para petani terjejas akibat pelbagai bencana alam termasuk banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak 17 permohonan melibatkan padi dan bakinya membabitkan tanaman lain.

“Melalui TBTP, bantuan yang diluluskan berjumlah RM5,212.20, manakala PPSPA pula jumlah keseluruhan yang diluluskan adalah sebanyak RM56,586.

“Jumlah peruntukan melalui kedua-dua bantuan yang telah diluluskan di peringkat negeri itu juga akan diangkat ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebelum diagihkan kepada setiap penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media selepas merasmikan Hari Ladang Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) dan Kempen Makan Sayur-Sayuran Peringkat Negeri Perak di pekarangan Pejabat Pertanian LMS di sini hari ini.

Mohd Zolkafly berkata jumlah bantuan yang akan diterima oleh para petani berkenaan berbeza  berdasarkan kepada kerosakan tanaman mereka.

“Sebagai contoh, untuk tanaman padi di bawah 70 hari, nilai bagi bantuan di bawah PPSPA adalah sebanyak RM750 per hektar dan lebih daripada 70 hari ialah RM1,800 per hektar.

“Bagi tanaman lain, kita akan nilai kerosakan yang berlaku dan 50 peratus daripada nilai kerosakan itu kita akan beri bantuan berbentuk input pertanian,” katanya.

Selain itu, beliau berkata mana-mana petani yang ingin memohon bantuan berkenaan perlu berhubung dengan Jabatan Pertanian Negeri selain diwajibkan untuk membuat laporan polis.

“Laporan ini perlu dibuat serta-merta dan tidak boleh melebihi tempoh sebulan daripada tarikh kejadian. Selain laporan polis, bukti sampingan seperti gambar di tapak tanaman juga diperlukan bagi tujuan pengesahan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan