Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Malaysia harus membangunkan industri reka bentuk litar bersepadu (IC) untuk mengekalkan pertumbuhan dalam teknologi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Phison Electronics Corp (Phison) yang berpangkalan di Taiwan, Datuk Pua Khein-Seng.
Pua, warga Malaysia berasal dari Sekinchan, Selangor yang terkenal sebagai pencipta ‘USB flash drive’ (pemacu USB) berkata Malaysia mempunyai banyak bakat (pekerja berkemahiran) dalam reka bentuk, tetapi ramai yang menetap di luar negara memandangkan industri reka bentuk masih baharu di Malaysia.
“Kita perlu menjadikan perniagaan reka bentuk ini mampan. Cara terbaik ialah dengan membina syarikat pemula niaga reka bentuk tempatan dan bukannya hanya mempunyai syarikat multinasional semikonduktor datang ke sini dan mengambil pekerja tempatan.
“Pemula niaga boleh meraih keuntungan atau melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) sekali gus menguar-uarkan beberapa kisah kejayaan yang boleh dijadikan contoh. Kemudian ia akan menarik ramai bakat pelajar dari luar negara kembali ke Malaysia untuk menyumbang dalam sektor teknologi,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual, di sini.
Beliau meluahkan harapan bahawa Phison boleh melakukan “sesuatu di sini” tetapi ia mungkin sukar berikutan keutamaan untuk pembukaan kilang.
Pua berkata Malaysia menunjukkan prestasi yang baik dalam industri berintensif modal yang menyumbang kepada hasil tinggi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terutamanya dalam pembuatan tetapi beliau percaya China sedang giat membangunkan bidang reka bentuk ini dan Taiwan ketika ini berada di hadapan dalam industri tersebut.
“Di Phison, apa yang kami lakukan ialah reka bentuk bukan pembuatan dan sejujurnya saya berpendapat reka bentuk boleh mencipta lebih nilai bagaimanapun dalam reka bentuk, anda tidak dapat melihat sebarang pulangan dalam tempoh tiga tahun. Hasil pulangannya adalah menarik,” katanya.
Pua berkata bahawa reka bentuk adalah akar teknologi, justeru beliau menggesa Malaysia untuk mencuba bukan sahaja untuk menarik kemasukan perniagaan pembuatan tetapi juga mereka yang terlibat dalam reka bentuk.
Phison ditubuhkan pada tahun 2000 adalah pembekal bebas terbesar di dunia bagi ‘NAND Flash controller’ dan penyelesaian storan, ia mempunyai kira-kira 3,000 jurutera yang melakukan reka bentuk storan untuk produk seperti komputer peribadi, konsol permainan dan telefon pintar.
Syarikat itu telah menghantar lebih 600 juta ‘NAND controllers’ ke seluruh dunia setiap tahun dan melebihi US$2 bilion hasil jualan pada 2022.
Phison dan Virtual Reality Solution Sdn Bhd (VRS) yang terlibat dalam reka bentuk IC untuk NAND, kini berminat untuk menjalinkan kerjasama bagi penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan yang berpangkalan di Malaysia serta memajukan pertumbuhan keselamatan siber di Malaysia.
“Malaysia terlibat dalam pemasangan dan ujian semikonduktor sumber luar (OSAT) dalam industri semikonduktor, sehubungan itu saya mempunyai harapan positif bahawa Malaysia akan mempunyai peluang cerah dalam mereka bentuk IC ini pada masa hadapan, membantu negara menyelesaikan isu 'middle income trap' (perangkap pendapatan sederhana).
“Pada yang sama, pekerja berkemahiran tempatan yang kini berada di luar negara boleh diambil bekerja serta menawarkan peluang kepada lebih ramai bakat tempatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” kata Pua.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial