AM

Jbw 2023, Liam, Akpk Perkasakan Belia Dengan Pengetahuan Kewangan

25/10/2023 10:38 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit  (AKPK) berganding tenaga untuk memperkasakan golongan belia dengan pengetahuan penting, kemahiran dan sumber untuk mengemudi cabaran landskap kewangan hari ini yang mencabar menerusi  Jelajah Bijak Wang (JBW) 2023.

Presiden LIAM  Raymond Lew Yung Chow berkata menurut Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) setakat Mac 2022, lebih 280,000 belia diisytiharkan muflis kerana kesilapan pengurusan hutang pinjaman mereka. 

Beliau berkata bahkan menurut Kajian Celik Kewangan Malaysia RinggitPlus 2022 (RMFLS), rakyat Malaysia daripada pelbagai golongan sedang bergelut dengan cabaran kewangan yang menjadikan mereka rentan terhadap kejutan kewangan.  

“Daripada 3,144 rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas dalam kajian itu, 70 peratus daripada mereka menabung kurang daripada RM500 sebulan atau tidak menyimpan duit langsung, sementara 55 peratus berbelanja lebih daripada pendapatan mereka sebulan.  

Ini adalah peringatan penting bahawa generasi muda kita perlu dilengkapkan dengan kemahiran asas dan pengetahuan pengurusan kewangan untuk mengelakkan kesukaran seperti itu, katanya dalam ucapan pelancaran JBW 2023 di sini hari ini.  

Mengulas lanjut Lew berkata JBW dengan tema “Makmur hari ini, berkembang maju esok” menyasarkan untuk mencapai 50 peratus institusi pengajian tinggi di seluruh negara kerana LIAM percaya program celik kewangan berterusan adalah penting untuk melengkapkan penuntut dengan kemahiran pengurusan kewangan sebelum mereka menyertai pasaran tenaga kerja.

JBW 2023 yang dianjurkan bersempena Bulan Celik Kewangan Oktober, ialah program perkhidmatan bantuan yang dilaksanakan dengan bantuan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan dijadualkan bermula dari Oktober tahun ini sehingga Februari 2024.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LIAM  Mark O’ Dell berkata program itu menawarkan penuntut dengan gabungan sesi dalam kelas, permainan, pembelajaran dalam talian dan  kemuncaknya ialah program Mencari Harta Karun yang menyeronokkan dengan matlamat mendidik belia dengan perancangan kewangan mencukupi dan membuat keputusan kewangan berdasarkan maklumat. 

“Menambah sentuhan futuristik, penuntut akan dibimbing Mat Awang, sebuah robot dari masa hadapan menyampaikan nilai yang ingin kita saksikan pada belia kita.

Program ini akan meliputi tujuh dimensi kesejahteraan, terdiri daripada  perlindungan kewangan,  kesejahteraan emosi, kerohanian, kerjaya dan pertumbuhan intelektual, kesedaran sosial, bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan kesihatan fizikal,” katanya. 

Peserta JBW 2023 juga digalakkan untuk menubuhkan sebuah kumpulan lima anggota untuk menyertai pengembaraan permainan itu bersama Mat Awang melengkapkan cabaran berkaitan Dimensi Kesejahteraan selain daripada portal pembelajaran dalam talian. 

Dengan hadiah wang tunai berjumlah RM18,900 untuk dimenangi, 50 kumpulan terbaik akan dipilih untuk menyertai cabaran terakhir, Mencari Harta Karun yang dijadualkan di  UPM pada Februari tahun depan. 

Acara hari ini juga menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara LIAM dan AKPK yang menekankan komitmen tidak berbelah bahagi mereka untuk meningkat tahap celik kewangan dalam kalangan belia dan seluruh rakyat Malaysia, disaksikan Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim.  

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan