ALOR SETAR, 24 Feb (Bernama) -- Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang bantuan membaiki rumah penerima bantuan berjumlah RM15,000, sembilan tahun lepas.
Mohamad Zarir Mohamad Khozali, 46, didakwa sebagai Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim menyalahgunakan bantuan baiki rumah berjumlah RM3,000 milik Umi Kalsom Awang, 39, di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim pada 19 Sept 2016.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menyalahgunakan bantuan baiki rumah berjumlah RM12,000 milik Siti Daoyah Awang, 77, dan Azizah Ishak, 72, di CIMB Bank Berhad, Jalan Tuanku Putra, Kulim pada 2 Okt 2017.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah Nurul Atikah Ab Rashid manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hakim Hamran.
Hakim N Priscilla Hemamalini membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sepanjang tempoh perbicaraan serta menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial