EKONOMI

MOU BANK RAKYAT, PT MNC KAPITAL INDONESIA BANTU PACU EKONOMI DAN PERBANKAN SERANTAU - EWON

21/10/2023 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) - Usaha kerjasama Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dengan PT MNC Kapital Indonesia menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di Jakarta pada Sabtu, amat signifikan dalam membantu memacu pembangunan ekonomi negara dan perbankan serantau.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata MoU tersebut membabitkan kemudahan pembiayaan patuh Syariah serta produk dan perkhidmatan perbankan inklusif untuk kalangan Pekerja Migran Indonesia (PMI) yang akan bekerja di Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata kerjasama terbabit dapat merancakkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Indonesia dan mengeratkan hubungan baik yang sedia terjalin.

“Kolaboratif ini secara tidak langsung mampu memberi impak positif dalam memastikan kemasukan PMI secara sah ke Malaysia mengikut undang-undang dua negara ini dan keterjaminan keselamatan serta perlindungan hak-hak PMI dari segi perkhidmatan perbankan sewaktu di Malaysia.

“Selain itu, penambahan bilangan PMI khususnya dalam sektor pembinaan juga dapat membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya berucap pada majlis itu dan teks ucapan beliau dikongsi dalam satu kenyataan, hari ini.

Bank Rakyat adalah di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Pemeteraian MoU itu dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Datuk Dr Mohammad Hanis Osman dan Direktur Utama PT MNC Kapital Indonesia Yudi Hamka dan disaksikan oleh Ewon dan Menteri Koperasi dan Usaha Kecil dan Menengah Republik Indonesia Teten Masduki.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan MNC Hary Tanoesoedibjo.

Ewon juga menyifatkan kerjasama strategik Malaysia-Indonesia sebagai bertepatan dengan agenda di peringkat Asean menerusi konsep Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini khususnya dalam menjalinkan pengaturan strategik memudah cara pergerakan modal insan dan menyokong pengembangan syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran serantau.

Langkah itu juga, kata Ewon, selari dengan saranan perdana menteri ketika menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-43 baru-baru ini agar integrasi ekonomi antara negara serantau diperhebatkan ke arah penghasilan pelan ekonomi yang lebih cergas, inklusif, mampan dan berdaya tahan.

“Perjanjian persefahaman strategik yang lebih hebat perlu dilaksanakan bagi mengembangkan integrasi pasaran dan memudah cara pergerakan barangan, kapital, tenaga kerja berkemahiran tinggi serta perkongsian teknologi dengan negara Asean.

“Saya lihat ia juga sejajar dengan kerjasama MoU yang dimeterai antara Bank Rakyat dan MNC Kapital ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan