AM

AIM UBAH NASIB PENIAGA, TINGKAT PENDAPATAN

21/10/2023 04:21 PM

Oleh Habsah Ismail

KOTA BHARU, 21 Okt (Bernama) -- Peminjam atau 'Sahabat’ Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah berjaya mengubah taraf hidup dan meningkatkan pendapatan mereka menerusi pembiayaan yang disediakan oleh badan itu.

Pemilik bengkel motosikal Othman Yusof, 55, dari Kampung Padang Raja, Melor berkata dia memulakan perniagaan kira-kira 20 tahun lepas menerusi pembiayaan AIM sebanyak RM3,000.

"Sebaik sahaja mendapat pembiayaan AIM di Pusat Balqis Cawangan Ketereh, saya memanfaatkannya dengan membeli peralatan gantian antaranya minyak pelincir, tiub, tayar dan beberapa komponen berkaitan motosikal.

"Saya membuat pembayaran dengan teratur secara mingguan hasil daripada pendapatan dan bermula daripada situ saya berupaya meningkatkan pendapatan purata sehingga RM300 sehari," katanya kepada Bernama hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan pembiayaan sebanyak RM100 juta bagi menyokong fungsi AIM yang berupaya membasmi kemiskinan berikutan badan itu menunjukkan prestasi sangat cemerlang dengan mencatatkan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) terendah iaitu 0.26 peratus pada 2022.

Othman berkata dalam seminggu biasanya dia perlu membayar kira-kira RM45 termasuk simpanan wajib yang telah menjadi syarat utama pembiayaan AIM.

Menurutnya, selama 20 tahun menjadi Sahabat AIM, dia pernah meminjam RM19,000 bagi mengembangkan perniagaan bengkel motosikal dan usaha itu berbaloi kerana perkhidmatannya itu mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

"AIM telah mengubah hidup saya sekeluarga seperti dapat menambah baik rumah, membeli kereta dan membantu perniagaan jualan nasi berlauk isteri," katanya.

Bagi peniaga kuih Tuan Juwariah Tuan Ismail, 51, dari Kampung Mahligai di Bachok berkata dia memohon pembiayaan AIM sebanyak RM5,000 kira-kira empat tahun lepas untuk mengembangkan perniagaannya.

“Saya membuat tujuh jenis kuih setiap hari antaranya lepat pisang, karipap, cek mek molek, keria dan pulut bakar yang diletakkan di kedai kopi sekitar Mahligai serta Melor.

"Susulan pengumuman oleh kerajaan pada Belanjawan 2024, saya berhasrat untuk memohon pembiayaan baharu bagi menambah baik perusahaan IKS yang diusahakan sekarang ini,” katanya.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan