AM

CARUMAN WAJIB KWRS DIKURANGKAN DUA PERATUS - EWON

12/10/2023 01:11 PM

BANGI, 12 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersetuju mengurangkan kadar caruman wajib koperasi dalam Kumpulan Wang Rizab Statutori (KWRS) sebanyak dua peratus iaitu kepada 13 peratus mulai tahun kewangan berakhir 31 Dis tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu akan berkuat kuasa hingga 30 Nov 2025.

Beliau berkata langkah berkenaan adalah bagi meningkatkan potensi pendapatan boleh guna koperasi untuk aktiviti perniagaan dengan memiliki lebihan kecairan tunai berjumlah hampir RM20 juta.

“Kementerian mengambil maklum dan cakna akan kesukaran koperasi untuk bangkit semula dalam tempoh pascapandemik COVID-19, semoga pengurangan kadar KWRS ini dapat memberi kelegaan kepada koperasi untuk bangkit semula dan memulihkan perniagaannya serta mengalami pertumbuhan yang lebih baik.

“Kadar ini akan kembali kepada kadar asal secara berperingkat mengikut ketetapan SKM kelak,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) dan Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2023 di sini hari ini.

Mengenai DaKoM 2030, Ewon berkata ia bakal memetai hala tuju gerakan koperasi menerusi empat teras dasar dan 20 strategi sebagai pemangkin kepada sasaran perolehan sektor koperasi sebanyak RM60 bilion pada 2025 dan RM100 bilion pada 2030.

Empat teras dasar itu ialah mentrasformasi sokongan koperasi ke arah pembangunan ekosistem yang lebih holistik dan kondusif, meningkatkan kefahaman dan penghayatan prinsip koperasi, meningkatkan kapasiti dan keupayaan koperasi serta memajukan sektor koperasi sebagai wahana pembangunan sosioekonomi utama.

Beliau berkata setakat tahun lepas, sebanyak 15,315 koperasi telah didaftarkan dengan keanggotaan seramai 7.31 juta orang melibatkan syer terkumpul sebanyak RM16.98 bilion manakala aset terkumpul RM159.61 bilion.

“Bagaimanapun sehingga kini penglibatan belia dan kumpulan berpendapatan rendah dalam koperasi secara relatifnya adalah rendah berikutan kurangnya minat serta koperasi dilihat sebagai aktiviti ekonomi bukan utama bagi mereka.

“Jadi kementerian mencadangkan agar program IPR (Inisiatif Pendapatan Rakyat) diperluas kepada gerakan koperasi dengan insentif peruntukan khas diberikan kepada kumpulan belia, B40 dan kumpulan rentan bagi menjana pendapatan melalui pelbagai aktiviti ekonomi koperasi seperti sektor agromakanan, perkhidmatan (pelancongan, kios, dobi dan penyelenggaraan) dan sebagainya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan