EKONOMI

25 SYARIKAT PMKS TERIMA BANTUAN KEWANGAN LEBIH RM1.71 JUTA DARIPADA SME CORP

11/10/2023 03:19 PM

JOHOR BAHRU, 11 Okt (Bernama) -- Sebanyak 25 syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negeri Johor menerima bantuan kewangan berbentuk geran dan pembiayaan bernilai lebih RM1.71 juta daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, SME Corporation Malaysia (SME Corp). 

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy berkata bantuan kewangan tersebut dilaksanakan melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) berjumlah RM230,000, Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) sebanyak RM687,000 dan RM800,000 lagi di bawah Skim Pembiayaan Pengukuhan PKS (SME Revitalisation Financing - SMERF). 

Beliau berkata penyerahan replika cek bantuan kewangan tersebut dibuat bersempena Siri Jelajah dan Sesi Taklimat Program Pengukuhan Mikro MADANI (Mikro MADANI) Peringkat Wilayah Selatan melibatkan hampir 400 orang peserta di Johor.

“Akses kepada pembiayaan kekal menjadi isu utama yang membelenggu PMKS, khususnya perusahaan mikro. Justeru SME Corp telah memperkenalkan Program Mikro MADANI yang menyediakan bantuan kewangan kepada perusahaan mikro.

“Ia dalam bentuk geran dan pinjaman serta baucar melalui lima inisiatif utama iaitu Geran Perniagaan Mikro (GPM), Geran Perniagaan Belia Mikro@TUBE, BEEP Plus Sabah dan Sarawak, dan Baucar Status PMKS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Jelas beliau lagi, sehingga September 2023, SME Corp telahpun memperakukan pendaftaran sebanyak 27,054 pemohon berstatus PMKS dan daripada jumlah ini, sebanyak 3,121 PMKS (11.5 peratus) adalah dari negeri Johor.

Katanya, Program Mikro MADANI telah dibuka sejak dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, pada 20 September lepas

“Bagi memudahkan perusahaan mikro memohon bantuan, mereka boleh memohon secara dalam talian dan maklumat lanjut berkenaannya boleh diakses di laman sesawang SME Corp. Malaysia melalui pautan http://smecorp.gov.my/MIKROMADANI,’’ katanya.

Terdahulu, Siri Jelajah dan Sesi Taklimat Program Mikro MADANI di Johor Bahru merupakan lokasi ketiga selepas Kuantan, Pahang dan Kuching, Sarawak. 

Siri jelajah ini akan diteruskan dengan penganjurannya di Alor Setar, Kedah pada 12 Oktober depan sebelum melabuhkan tirainya di Kota Kinabalu, Sabah pada 20 Oktober.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan