AM

Allianz Malaysia Ceriakan Sambutan Aidilfitri Komuniti Kurang Berkemampuan 

17/05/2024 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) --  Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) Allianz4Good menyokong beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah inisiatif 'Raya Bermakna Bersama Allianz Malaysia' untuk komuniti kurang berkemampuan dan rentan di seluruh negara.

Allianz Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan inisiatif itu melibatkan beberapa siri aktiviti menarik, termasuk sumbangan bantuan kewangan kepada NGO bagi pembelian makanan dan barangan runcit untuk komuniti yang memerlukan, pakaian baharu buat kanak-kanak dan menyediakan peluang sukarelawan kepada pekerja Allianz Malaysia. 

“Allianz Malaysia turut menyediakan bantuan kewangan kepada Cahaya Society, sebuah NGO yang memperkasakan komuniti terpinggir selain membantu pengagihan bahan makanan penting kepada 885 keluarga daripada komuniti rentan di Sandakan, Sabah,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Allianz Malaysia turut menyediakan bantuan kewangan kepada lapan NGO di Lembah Klang, Sabah dan Kelantan untuk membeli barangan runcit serta keperluan semasa musim perayaan.

Syarikat itu juga menyalurkan bantuan kewangan bagi pembelian baju raya baharu untuk 110 kanak-kanak kurang berkemampuan di kawasan Chow Kit dengan sokongan NGO Buku Jalanan Chow Kit.

Menurut kenyataan itu, kira-kira 10 pekerja Allianz Malaysia sukarela menawarkan diri untuk bersama-sama Silent Teddies Bakery sebuah perusahaan sosial yang memperkasakan individu cacat pendengaran untuk membakar 150 biskut cip coklat jumbo dan 20 kotak biskut cip coklat dengan garam laut serta menghasilkan 60 kotak biskut. 

Allianz Malaysia turut menyumbang daripada aspek kewangan kepada Kenchara Soup Kitchen sebuah NGO yang menyediakan makanan dan perkhidmatan sokongan yang mengagihkan 1,828 hidangan panas kepada gelandangan dan miskin bandar di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor.

“Seramai 36 petugas Allianz Malaysia dari cawangan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Ipoh menawarkan diri untuk membantu proses pembungkusan serta mengagihkan makanan kepada individu memerlukan,” menurut kenyataan itu.

Ketua Allianz4Good Ng Siew Gek dalam kenyataan yang sama berkata inisiatif itu bermula pada Ramadan dan diteruskan sehingga April sempena Aidilfitri.

“Allianz Malaysia berharap semangat Aidilfitri ini dapat dikekalkan untuk membantu masyarakat kurang bernasib baik. Kami bekerjasama dengan NGO yang berkongsi misi yang sama dengan kami dan memberi peluang kepada rakan sekerja menjadi sukarelawan dalam inisiatif ini yang bukan sahaja bertujuan membawa kegembiraan kepada yang kurang berkemampuan semasa musim perayaan tetapi juga bagi mewujudkan masyarakat lebih inklusif dan bersatu padu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan