AM

Tiada Gelombang Hijau Di Pahang, Yang Ada Hanya Gelombang Biru Dan Merah - Ahmad Zahid

07/10/2023 11:29 PM

BENTONG, 7 Okt (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kejayaan BN mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sebagai petanda tidak ada “gelombang hijau” di Pahang. 

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kejayaan itu adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk jentera parti, sama ada daripada BN mahupun rakan dalam Kerajaan Perpaduan. 

"Ini adalah petanda bahawa tidak ada gelombang hijau di Pahang dan yang ada hanyalah gelombang biru (BN) dan merah (Pakatan Harapan) yang semakin diterima rakyat Malaysia. Insya-Allah," katanya dalam hantaran di Facebooknya malam ini. 

Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah atas kejayaan calon BN Datuk Amizar Abu Adam dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi BN Pahang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.

Beliau juga berterima kasih kepada pengundi DUN Pelangai dan semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan itu termasuk jentera akar umbi di pusat daerah mengundi (PDM) serta kepimpinan UMNO Bahagian Bentong yang diterajui Pemangku Ketua UMNO Bahagian Datuk Seri Mohammad Zaini Salleh.  

PRK DUN Pelangai menyaksikan Amizar menang dengan majoriti 2,949 undi selepas  memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni yang hanya meraih 47 undi.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan